Selasa, 4 September 2018 | 2:24pm

Anak syarikat TNB dapat pengiktirafan MARC

KUALA LUMPUR: Southern Power Generation Sdn Bhd (SPG), anak syarikat 51 peratus milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) diiktiraf sebagai ‘Project Financing of the Year 2017' pada Majlis ‘MARC 2017 Lead Managers League Table Awards’, di sini, baru-baru ini.

Pengiktirafan oleh Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) itu adalah di atas pencapaian SPG menerbitkan Sukuk Wakalah bernilai RM3.7 bilion pada Oktober 2017.

Sukuk Wakalah berkenaan, yang telah diberi penarafan AA-IS / Stable oleh MARC, adalah bagi membiayai pembangunan Projek Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) Track 4A dengan kapasiti 1,440MW di Pasir Gudang, Johor.

SPG, sebuah syarikat khas yang ditubuhkan untuk pembangunan projek CCGT berkenaan adalah usaha sama antara TNB dan SIPP Energy Sdn Bhd, yang memiliki 49 peratus baki kepentingan dalam SPG.

Projek yang bernilai sekitar RM4.6 bilion itu dibiayai menerusi gabungan kewangan projek serta ekuiti, dan dijangka memulakan operasi komersil berjadual pada 1 Julai 2020.

Loji janakuasa yang kini dalam pembinaan peringkat awal di Zon Perindustrian Pasir Gudang itu akan mengukuhkan keupayaan TNB memberikan bekalan elektrik berdaya harap dan stabil menerusi Grid Nasional.

Berita Harian X