Isnin, 27 Ogos 2018 | 9:31pm

IOI Properties raih laba RM783.63 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih IOI Properties Group Bhd susut kepada RM783.63 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018 daripada RM920.87 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Perolehan turun 33 peratus tahun ke tahun kepada RM2.79 bilion daripada RM4.19 bilion sebelum ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat berkata prestasi kewangan lebih rendah itu adalah berikutan sumbangan berkurangan daripada projek di Lembah Klang dan luar negara iaitu di Singapura dan China dalam segmen pembangunan hartanah.

Melangkah ke hadapan, IOI Properties berkata ia kekal yakin namun berhati-hati dengan permintaan hartanah di lokasi strategik, yang mempunyai infrastruktur pengangkutan yang baik dan berhampiran dengan pelbagai kemudahan, akan terus menarik bakal pembeli.

Mengenai aspek antarabangsa, IOI Properties mengunjurkan sumbangan jualan lebih tinggi daripada pembangunan kediaman di Xiamen, China pada tahun kewangan akan datang.

Bagi Singapura, baru-baru ini kerajaan negara itu memperkenalkan sekatan baharu ke atas hartanah kediaman, namun jangkaan pasaran menunjukkan kesannya mungkin bersifat sementara.

Berkenaan segmen pelaburan hartanah, meskipun persekitaran pasaran kompetitif bagi pajakan pejabat, syarikat itu akan terus menguruskan portfolio hartanah pelaburannya bagi memastikan ia diduduki untuk menjana aliran perolehan berulang yang stabil.

Mengenai segmen hospitaliti dan senggang pula, IOI Properties dapat mengekalkan penguasaan pasaran bagi hotelnya walaupun situasi mencabar dalam persekitaran pertambahan banyak hotel baharu yang akan dilancarkan.

Berdasarkan simpanan tanah yang banyak di kawasan strategik di Malaysia dan luar negara, ditambah dengan rekod prestasi kukuh bagi penyiapan, syarikat berkedudukan baik untuk menyesuai dengan keadaan pasaran di Malaysia dan luar negara, menurut IOI Properties.

Menurutnya, tanpa mengambil kira keadaan di luar jangka, syarikat dijangkakan terus merekodkan prestasi memuaskan pada suku akan datang.

Berita Harian X