Isnin, 25 Jun 2018 | 3:15pm

PERODUA terima 1,000 tempahan penyedia pengangkutan

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menerima 1,000 unit tempahan Bezza dan Axia, pembelian fleet pertama bagi perkhidmatan "ride-hailing" dan "ride-sharing".

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, berkata pihaknya menerima tempahan itu dari dua syarikat perkhidmatan ride-hailing dan ride-sharing yang beroperasi di Malaysia.

Beliau berkata, jualan fleet kepada syarikat terbabit amat penting bagi PERODUA kerana membuka pasaran baharu buat syarikat kereta kompak itu.

"Ini adalah tanda kepercayaan syarikat berkenaan kepada model kenderaan kami yang berkualiti, selamat serta mempunyai kos operasi yang rendah.

"Perkembangan perkhidmatan ride-hailing dan ride-sharing di Malaysia telah merevolusikan pengangkutan bagi rakyat Malaysia, dan kami bangga menjadi sebahagian daripada usaha ini ke arah pengangkutan yang lebih cekap dan mampan untuk semua," katanya dalam satu kenyataan.

Secara keseluruhan, sebanyak 300,000 unit model Axia dan 100,000 unit model Bezza dijual sejak pelancaran masing-masing pada 2014 dan 2016.

Kedua-duanya adalah model kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang telah diperakui kerajaan dan menguasai segmen kenderaan masing-masing sejak pelancarannya.

Berita Harian X