Isnin, 21 Mei 2018 | 12:54pm

RAM perkenal 2 kategori anugerah baharu

KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd memperkenal dua kategori baharu dalam Anugerah Liga RAM tahun ini, Anugerah Bon Hijau RAM dan Anugerah Syarikat Lestari.

Dalam kenyataannya hari ini, agensi penarafan itu berkata, Anugerah Bon Hijau memperakui bon atau sukuk yang membiayai projek dengan penarafan manfaat kepada alam sekitar tertinggi RAM iaitu menyumbang kepada komitmen pengurunan pelepasan dan tenaga boleh baharu Malaysia.

Unit Mudajaya Group Bhd, Sinar Kamiri Sdn Bhd, adalah penerima pertama anugerah itu atas sukuk solar hijaunya.

"Projek penjanaan tenaga fotovoltan solar Sinar Kamiri menyumbang manfaat yang besar kepada alam sekitar, kerana ia mempunyai kesan karbon yang kecil berbanding penjanaan tenaga menerusi bahan bakar fosil," katanya.

Sementara itu, Anugerah Syarikat Lestari pula menghargai syarikat inovatif yang mengamalkan kelestarian dalam setiap aspek perniagaannya.

Anugerah itu dimenangi Cenviro Sdn Bhd - anak syairkat milik penuh Khazanah Nasional Bhd - sebagai perakuan ke atas usaha pengurusan sisa Cenviro secara lestari menerusi amalan inovatif dalam meminimumkan dan pengumpulan sisa selain menukar sisa kepada tenaga.

- BERNAMA

Berita Harian X