Khamis, 3 Mei 2018 | 9:02pm

Perjanjian pemegang saham MAHB-Cainiao mula berkuatkuasa

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan bahawa perjanjian pemegang saham (SHA) yang bertarikh 2 Nov 2017, berhubung dengan Cainiao KLIA Aeropolis Sdn Bhd mula berkuatkuasa hari ini.

Perjanjian itu membabitkan Cainiao Smart Logistics Network (Hong Kong) Ltd (Cainiao HK) dan MA Elogistics Sdn Bhd (MA Elogistics).

MAHB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, berkata sehubungan itu, Cainiao HK dan MA eLogistics telah melengkapkan langganan saham mereka dalam sebuah syarikat usaha sama (JV), masing-masing sebanyak 70 peratus dan 30 peratus.

Kumpulan itu juga mengumumkan bahawa dengan berkuatkuasanya, perjanjian SHA itu hari ini, anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang), telah mula memasuki satu perjanjian sewaan antara syarikat JV itu dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi membolehkan penyewaan tersebut diberikan kepada syarikat JV berkenaan.

Perjanjian sewaan itu membabitkan sebahagian daripada tanah yang terletak di Bandar Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang, seluas kira-kira 24.28 hektar (60 ekar) bagi tempoh 30 tahun bermula hari ini dan tamat pada 2 Mei 2048. Ia akan diperbaharui secara automatik sehingga 10 Februari 2069.

Usaha sama MAHB dengan Cainiao HK dijangka membabitkan pelaburan sebanyak RM800 juta untuk membangunkan Taman KLIA Aeropolis Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) menjelang 2020.

MAHB akan membangunkan sebidang tanah seluas 36.42 hektar (90-ekar) di Taman KLIA Aeropolis DFTZ, di mana 24 hektar (60-ekar) akan diperuntukkan untuk projek usaha sama dengan bahagian logistik Alibaba, Cainiao Network, bagi membina hab e-Penunaian serantau kumpulan tersebut.

Ia dijangka menjadi Platform Perdagangan Elektronik Dunia yang pertama di luar China. - BERNAMA

Berita Harian X