Khamis, 3 Mei 2018 | 8:00am
KETUA Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal (tengah) bersama Pengarah MRCB Gamuda Consortium, Datuk Azmi Mat Nor (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL THP JV Sdn Bhd, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz dalam satu temubual di pejabat MyHSR di Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah
KETUA Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal (tengah) bersama Pengarah MRCB Gamuda Consortium, Datuk Azmi Mat Nor (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL THP JV Sdn Bhd, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz dalam satu temubual di pejabat MyHSR di Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah

40% nilai projek HSR akan diberi kepada Bumiputera

KUALA LUMPUR: Lebih 40 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak kerja sivil projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) akan diperuntukkan kepada kontraktor Bumiputera, demikian mengikut MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp).

Kontrak berkenaan, kata firma pelaksana projek itu, akan ditawarkan menerusi tender terbuka dan pemilihan secara terperinci akan dibuat bagi memastikan ia diberikan kepada kontraktor Bumiputera yang berkelayakan.

MyHSR Corp, yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan, sehingga kini masih belum menyatakan nilai sebenar projek sivil HSR KL-SG, namun begitu penganalisis tempatan secara umumnya menganggarkan, projek yang dijangka siap pada tahun 2026 itu, adalah bernilai RM65 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, berkata dari segi jumlah, secara keseluruhannya kira-kira 60 pakej kerja akan ditawarkan kepada kontraktor tempatan, termasuk Bumiputera.

Pakej kerja itu membabitkan kerja sivil dan reka bentuk yang akan dilaksanakan di sepanjang jajaran 330 kilometer (km) dengan tujuh stesen dari Kuala Lumpur hingga Iskandar Puteri.

Katanya, tender pertama untuk kerja sivil dijangka akan dibuka bagi bidaan selewat-lewatnya pada separuh pertama tahun depan.

"Peruntukan 40 peratus kerja sivil kepada kontraktor Bumiputera ini akan dibuat menerusi tender terbuka dan mereka perlu bersaing untuk mendapatkannya. Kita akan memilih kontraktor yang terbaik dan benar-benar layak sahaja.

"Mengenai cara pemilihannya, kami akan mengguna pakai model sedia ada yang digunakan oleh MRT Corp (dalam memilih kontraktor Bumiputera)," katanya kepada NSTP dalam satu temubual di pejabatnya di sini.

Sesi temubual itu turut disertai Pengarah MRCB Gamuda Consortium, Datuk Azmi Mat Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL THP JV Sdn Bhd, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz.

MyHSR Corp pada awal bulan lalu mengumumkan pelantikan Rakan Pelaksana Projek (PDP) untuk kerja sivil projek HSR KL-SG, yang mana MRCB-Gamuda bagi jajaran di bahagian utara, manakala YTL THP JV bagi jajaran di bahagian selatan.

Kedua-dua konsortium akan melaksanakan semua aktiviti yang perlu, sepanjang fasa perancangan, pembinaan, pengujian dan pengoperasian.

Mengenai keperluan melantik dua PDP untuk projek itu, Nur Ismal berkata, ia disebabkan skala projek itu yang besar.

Beliau menjelaskan, pada awalnya MyHSR Corp memikirkan untuk melantik satu PDP sahaja, namun melihat kepada saiz projek yang besar selain daripada mahu menjaminkan pengurusan risiko yang berkesan, maka diputuskan adalah lebih baik jika dipecahkan kepada dua PDP.

"Dengan ini, mereka bukan saja mampu mengawal apa yang berlaku di kawasan masing-masing dengan lebih baik, malah dapat mewujudkan lebih banyak peserta yang mahir dengan teknologi HSR pada masa depan.

"Sebagai contoh, pada masa depan jika terdapat kerja HSR di Thailand atau Indonesia, kita sudah mempunyai lebih daripada satu PDP yang berpengalaman dalam bidang HSR," katanya.

Sementara itu, Azmi Mat Nor, berkata kini kerja sivil membabitkan HSR sudah mampu dibuat 100 peratus oleh kontraktor tempatan tanpa memerlukan bantuan pihak luar.

Ini kerana katanya, syarikat tempatan ketika ini sudah mempunyai pengalaman yang mencukupi apabila sudah terbabit dalam projek MRT jajaran pertama dan kedua serta projek LRT lain.

"Projek HSR ini bakal memberi manfaat kepada semua kontraktor dari peringkat G1 hingga G7," katanya.

Berita Harian X