Khamis, 12 April 2018 | 9:55pm

Anak syarikat Malakoff peroleh kontrak loji solar

KUALA LUMPUR: Teknik Janakuasa Sdn Bhd (TJSB), anak syarikat milik penuh Malakoff Corporation Bhd, memperoleh kontrak pengendalian dan penyelenggaraan (O&M) untuk pengendalian, penyelenggaraan dan pembaikan loji tenaga fotovolta (LSS) solar berskala besar 29MWac di Kota Tinggi, Johor.

Malakoff berkata, perjanjian O&M (OMA) itu ditandatangani oleh konsortium merangkumi TJSB, Zelleco Engineering Sdn Bhd dan ZEC Solar Sdn Bhd, yang memperoleh projek berkenaan melalui tender persaingan pusingan pertama LSS dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

"OMA itu adalah untuk tempoh 21 tahun bermula Disember 2018," kata Malakoff dalam satu kenyataan hari ini.

Malakoff berkata, TJSB-Zelleco Consortium akan merangkumi syarikat O&M tujuan khas bagi melaksanakan perkhidmatan dan tanggungjawab di bawah OMA itu, dan berkewajipan memenuhi piawaian jaminan prestasi untuk pengendalian loji solar PV.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata TJSB dipilih untuk kontrak O&M berikutan pengalamannya dalam mengendalikan dan mengekalkan kemudahan generator tenaga di luar negara dan tempatan.

"Perjanjian ini menandakan gerakan pertama Malakoff dalam aset tenaga boleh diperbaharui O&M dan juga bermakna bahawa perniagaan O&M kami sedang berkembang termasuk kedua-dua generator tenaga boleh diperbaharui konvensional dan termal," tambahnya.

Awal tahun ini, Malakoff juga menandatangani memorandum persefahaman dengan Touch Meccanica Sdn Bhd untuk bekerjasama membangunkan beberapa projek tenaga boleh diperbaharui terutamanya LSS fotovolta dan loji tenaga hidro kecil di Pahang. -BERNAMA

Berita Harian X