Selasa, 10 April 2018 | 4:54pm

Prasarana sasar kurangkan pembelian daripada pembekal asing

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) menyasar untuk mengurangkan kebergantungan pembelian daripada pembekal asing sebanyak 20 peratus bagi operasi dan penyelenggaraan (O&M) keseluruhan industri rel tempatan, dalam tempoh lima tahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Masnizam Hisham, berkata langkah itu bertujuan untuk memaksimumkan kandungan tempatan seterusnya meningkatkan penyertaan vendor tempatan dalam industri rel.

"Pada masa ini, tahap kebergantungan pembekalan daripada luar dan tempatan adalah pada nisbah 80:20 peratus. Kita tidak mempunyai industri yang berupaya membekalkan kereta api sendiri terutama bagi O&M dan lebih banyak bergantung dengan bekalan daripada pembekal asing.

"Justeru, kami berusaha untuk mengurangkannya dengan mengenal pasti pembekal tempatan berpotensi untuk membekalkan peralatan yang diperlukan dalam industri," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian strategik dengan dua syarikat tempatan iaitu Amantronic Sdn Bhd (Amantronic) dan LCE Resources Sdn Bhd (LCE Resources), di sini, .

Menerusi perjanjian itu, Amantronic diberi kuasa membantu mempromosi dan memasarkan Sistem Lubrikasi Rel (RLS) bagi mengatasi masalah bunyi bagi tren LRT Kelana Jaya.

LCE Resourses pula terbabit bagi pembangunan pintu skrin platform bagi LRT Kelana Jaya di lima stesen bawah tanah iaitu Majis Jamek; Dang Wangi; Kampung Baru; KLCC dan Ampang Park.

Turut hadir, Ketua Pegawai Perkhidmatan Infra Prasarana, Ahmad Nizam Mohd Amin; Ketua Pegawai Eksekutif Amantronic, Mohd Izwan Shah Mohd Sabri Daniel dan Pengarah LCE Resources, Thai Kam Weng.

Bagi mencapai matlamat mengurangkan kebergantungan pembekal asing, Masnizam berkata, Prasarana bekerjasama dengan Technology Depository Agency (TDA), sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan dan Pertubuhan Industri Rel Malaysia (MARIC) untuk meningkatkan penyertaan tempatan dalam industri berkenaan.

"Pada masa sama, kita perlu memastikan kandungan tempatan yang dikeluarkan mencapai piawaian bagi memastikannya boleh diguna pakai dan dipasarkan mengikut standard yang ditetapkan di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata di bawah Program Kerjasama Industri (ICP), Prasarana juga sudah membawa beberapa syarikat tempatan ke luar negara sebagai usaha membantu memasarkan produk mereka ke peringkat global.

"Menerusi usaha itu, syarikat berkenaan menjadikan Prasarana sebagai platform rujukan bagi membuktikan produk mereka selamat diguna dan berkualiti," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai bidaan projek di luar negara, Masnizam berkata, Prasarana masih lagi menunggu keputusan daripada Arab Saudi berhubung bidaan projek kereta api berkelajuan tinggi manakala di India pula, syarikat membuat keputusan untuk tidak terbabit dalam tender monorel.

Berita Harian X