Ahad, 1 April 2018 | 6:25pm
AHMAD Razif (empat dari kiri) bersama Wan Nawawi (tiga dari kanan), Wan Rudirman (tiga dari kiri), Mohd Anuar (dua dari kiri) pada pelancaran cawangan terbaharu Chicken Cottage di Taman Tun Dr Ismail. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
AHMAD Razif (empat dari kiri) bersama Wan Nawawi (tiga dari kanan), Wan Rudirman (tiga dari kiri), Mohd Anuar (dua dari kiri) pada pelancaran cawangan terbaharu Chicken Cottage di Taman Tun Dr Ismail. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
AHMAD Razif (kiri) mencuba ayam goreng Chicken Cottage . - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
AHMAD Razif (kiri) mencuba ayam goreng Chicken Cottage . - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Chicken Cottage buka cawangan di TTDI

KUALA LUMPUR: Restoran makanan segera, Chicken Cottage, memperluaskan rangkaiannya dengan membuka cawangan kedua di Malaysia, yang bertempat di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), mulai hari ini.

Premis terbaharu itu menjadikan restoran makanan segera yang berstatus halal itu, kini mempunyai 90 cawangan di seluruh dunia. Cawangan pertama di Malaysia terletak di Kuala Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata Chicken Cottage menyasar pembukaan cawangan di Putrajaya dan Johor pada masa terdekat.

"Untuk membuka cawangan baharu Chicken Cottage, kita melakukan kajian dan mengenal pasti demografi kawasan sekurang-kurangnya enam bulan bagi memastikan kelancaran operasi dan tenaga kerja yang mencukupi.

"Francais berpeluang meluaskan jenama ini hingga ke luar negara namun memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta untuk satu cawangan di dalam negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan cawangan terbaharu Chicken Cottage itu, semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Chicken Cottage Holdings Sdn Bhd, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Presiden Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Dr Wan Rudirman Wan Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Chicken Cottage (M) Sdn Bhd, Mohd Anuar Osman.

Ahmad Razif berkata, Chicken Cottage mempunyai pensijilan halal daripada jabatan agama dalam dan luar negara, justeru tidak menjadi isu, sekiranya jenama terbabit diuar-uarkan secara meluas.

"Menerusi konsep halalan toyyiban, kerajaan negeri akan memastikan francais terutama di luar negara, mampu membawa jenama Chicken Cottage, seiring dengan konsep patuh syariah.

"Pembukaan cawangan di luar negara memberi peluang kepada umat Islam untuk menikmati makanan halal malah masyarakat bukan Islam turut bersetuju dan menerima konsep ini kerana menyediakan makanan berkualiti dan bersih," katanya.

Katanya, dalam masa lima tahun akan datang, sebanyak 250 cawangan Chicken Cottage disasar beroperasi di seluruh dunia termasuk Nigeria, Sepanyol, Pakistan serta negara jiran seperti Thailand, China, India dan Singapura serta Dubai yang bakal membuka lima cawangannya pada tahun ini.

Sementara itu, Wan Nawawi berkata, persempadanan di antara Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor menjadi faktor utama pemilihan TTDI sebagai lokasi pertama di Lembah Klang.

"Selain dikenali sebagai lokasi komersial yang berdekatan dengan Pusat Beli Belah 1Utama, IKEA, KPJ Damansara dan Tropicana City Mall, TTDI turut memiliki jaringan pengangkutan MRT yang baru dibuka di sini.

"Chicken Cottage bakal diangkat sebagai jenama antarabangsa setanding restoran makanan segera dan layanan pantas terkemuka lain," katanya.

Pembelian saham Chicken Cottage yang berbaki 30 peratus pada April 2017, menjadikan jenama berasal dari United Kingdom yang ditubuhkan sejak 1994, sebagai hak mutlak Kerajaan Terengganu dan jenama Malaysia.

Berita Harian X