Khamis, 22 Februari 2018 | 9:07pm

Sinergi bersama FELDA tingkat prestasi kewangan EHP

JAKARTA: PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) mencatatkan kemajuan ketara prestasi kewangannya, hasil keputusan perniagaan yang dilaksanakan baru-baru ini.

Malah, syarikat perladangan Indonesia itu mengakui sinergi daripada kerjasama strategik dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) juga menyumbang kepada prestasi kewangan ketara itu.

Pada 2017, EHP berkata, aliran tunainya meningkat berikutan tumpuan semulanya dalam meningkatkan pengeluaran dan hasil daripada ladang sedia ada dengan tanaman yang muda berbanding membuka kawasan penanaman baharu.

Syarikat perladangan itu, yang mana FELDA mempunyai 37 peratus kepentingan, menegaskan pendapatan jualan EHP meningkat 40.2 peratus dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2017, yang mana lebih tinggi berbanding tempoh sama 2016.

Justeru, katanya, pendapatan EHP daripada operasi meningkat kepada 229.7 bilion rupiah (RM65.6 juta) berbanding 4.9 bilion rupiah (RM1.4 juta) dalam tempoh sembilan bulan sebelumnya.

"Peningkatan prestasi dipacu secara langsung oleh sinergi daripada kerjasama strategik antara EHP dan FELDA.

"Oleh itu, memandangkan perkembangan yang menggalakkan ini, kami yakin bahawa perkongsian strategik akan terus membawa hasil positif bagi kedua-dua syarikat dan industri sawit," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

EHP juga menegaskan, sebagai syarikat senaraian awam, ia sepenuhnya mematuhi piawaian perakaunan dan amalan pelaporan yang tinggi seperti yang dikehendaki undang-undang dan peraturan tempatan, terutamanya mengenai cukai.

Justeru itu, ia menafikan sebarang dakwaan mengelak cukai dan pencabulan kewangan.

"EHP sentiasa memastikan komunikasi terbuka dan telus dikekalkan antara syarikat dan semua pemegang kepentingan.

"Kami mengalu-alukan sebarang pertanyaan atau permintaan untuk penjelasan daripada mana-mana pihak yang berminat, termasuk International Palm Oil Monitor (IPOM)," katanya.

Mengenai amalan kelestarian minyak sawit, EHP berkata, ia sentiasa komited dengan amalan berkenaan, termasuk mematuhi piawaian dan sijil kelestarian kebangsaan dan antarabangsa.

Ia berkata, setakat ini, dua kilang dan kompleks ladangnya memperoleh pensijilan Sawit Lestari Indonesia (ISPO) sementara yang lain dalam pelbagai peringkat audit dan proses pensijilan.

"Kami yakin dengan perkembangan positif ini, kami akan memenuhi semula keperluan piawaian kelestarian yang dimahukan oleh ISPO," katanya.

Sebagai anggota Persidangan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), EHP juga komited ke arah pelan masa bagi pensijilan kilang dan kompleks ladangnya oleh RSPO.

EHP adalah salah satu syarikat perladangan sawit terbesar di Indonesia yang tersenarai di Bursa Saham Jakarta.

Dua pemegang saham terbesarnya ialah konglomerat Indonesia, Rajawali Group dan FELDA.

Berita Harian X