Khamis, 22 Februari 2018 | 4:58pm
DATUK Mohd Shukrie Mohd Salleh. - Foto Aziah Azmee
DATUK Mohd Shukrie Mohd Salleh. - Foto Aziah Azmee

Bekas CEO Pos Malaysia sertai unit logistik AirAsia

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pos Malaysia Bhd, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh kini menyertai sayap logistik AirAsia, Redbox.

Pengumuman itu dibuat sendiri oleh CEO Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

"Saya amat gembira untuk memaklumkan bahawa Datuk Shukrie, bekas CEO POS Malaysia telah menyertai AirAsia menerusi sayap logistik yang baru ditubuhkan, Redbox," katanya menerusi catatan Twitter terbaharu beliau, hari ini.

Tony turut menyifatkan Redbox yang juga penyedia khidmat penghantaran kurier tambang rendah sebagai syarikat e-dagang yang kukuh.

"Potensi dan nilainya amat besar. Kami juga memiliki pesawat (yang diperlukan)," katanya.

Mohd Shukrie melepaskan jawatannya daripada Pos Malaysia pada 31 Disember 2017.

Di bawah kepimpinan beliau, Pos Malaysia mencatat perkembangan termasuk pembelian aset berkaitan logistik, menjalin kerjasama dengan Lazada Malaysia serta menjadi rakan tempatan bagi pembangunan hab penunaian elektronik atau e-penunaian Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

Redbox yang dilancarkan pada 2014, menyatakan perkhidmatannya adalah sehingga 50 peratus lebih murah berbanding pesaingnya.

Ia yang boleh diakses mudah oleh orang ramai menerusi redbox.airasia.com, memulakan operasi pada Mei 2016.

-BERNAMA

Berita Harian X