Rabu, 21 Februari 2018 | 6:16pm

Keuntungan bersih Malakoff susut

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malakoff Corporation Bhd susut sebanyak 7.2 peratus kepada RM376.94 juta pada tahun lalu.

Ia berikutan semakan semula perjanjian pembelian tenaga membabitkan anak syarikatnya, Segari Energy Ventures Sdn Bhd (SEV) dengan Tenaga Nasional Bhd, yang berkuat kuasa mulai pertengahan 2017.

Bagaimanapun, pendapatan pengeluar air dan tenaga bebas itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, meningkat sebanyak 16.9 peratus kepada RM7.13 bilion, disebabkan kedua-dua anak syarikatnya iaitu Tanjung Bin Power Sdn Bhd (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn Bhd (TBE) merekodkan pembayaran tenaga yang lebih tinggi.

"Loji arang batu TBP dan TBE mencatatkan pertambahan dalam pembayaran tenaga berikutan kenaikan harga arang batu termasuk bayaran kapasiti yang lebih tinggi oleh TBE, yang merekodkan hasil selama 12 bulan bagi tempoh semasa berbanding sembilan bulan hasil dalam tempoh yang sama di bawah kajian tahun sebelum ini" kata Malakoff dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.

Bagaimanapun, ini diimbangi oleh kerugian dalam pembayaran kapasiti TBE yang berpunca daripada gangguan ke atas lojinya.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2017, keuntungan bersih berkurangan kepada RM58.0 juta berbanding RM105.36 juta manakala perolehan menokok sebanyak 4.7 peratus kepada RM1.79 bilion.

Malakoff ketika mengulas mengenai prospek, memberitahu ia berada dalam kedudukan yang baik untuk menerima manfaat daripada unjuran permintaan selepas kejayaan pentauliahan loji jana kuasa termal TBE dalam Mac 2016.

Ini bermakna tambahan sebanyak 1,000 Megawatt (MW) ke dalam portfolio aset penjanaan tenaga kumpulan itu di Malaysia, sekali gus meningkatkan kapasiti penghasilan tenaga bersihnya kepada 6,346 MW.

"Kumpulan akan terus mengejar peluang pertumbuhan di peringkat domestik bagi mengembangkan keupayaan penjanaan, terutama dalam segmen tenaga yang boleh diperbaharui dan terus meneroka peluang pelaburan di luar negara bagi melengkapkan perniagaan domestik kumpulan," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X