Jumaat, 2 Februari 2018 | 7:32pm
PENGARAH Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi Naza TTDI, Datuk Idzham Mohd Hashim. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PENGARAH Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi Naza TTDI, Datuk Idzham Mohd Hashim. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Naza TTDI catat rekod jualan belum dibil RM1b

SHAH ALAM: Naza TTDI Sdn Bhd membuka lembaran tahun baharu dengan mencatatkan jualan belum dibil bernilai RM1 bilion, tatkala pasaran hartanah dipengaruhi sentimen pengguna yang lemah.

Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi Naza TTDI, Datuk Idzham Mohd Hashim, berkata dengan meneruskan langkah-langkah dalaman untuk menjana pasaran yang mampan, syarikat cabang hartanah Kumpulan Naza itu menjangkakan prestasi kewangan yang baik untuk tahun ini.

"Setakat ini, kami mempunyai RM1 bilion jualan belum dibil yang akan membantu kami kekal maju di dalam pasaran yang kompetitif ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Idzham berkata, pencapaian itu adalah kali pertama pemaju hartanah milik persendirian itu mencatat jumlah jualan belum dibil bernilai RM1 bilion dan jualan kukuh pada tahun 2017 juga adalah kejayaan yang julung kali dicapai.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah pencapaian jualan terbaik bagi Naza TTDI dalam tempoh lima tahun.

"Kami telah mencapai jualan sebanyak RM815 juta pada tahun 2017. Tahun ini, Naza TTDI meletakkan sasaran jualan sebanyak RM745 juta.

"Kami akan memberikan tumpuan kepada jualan komponen Met 1 yang terletak di KL Metropolis; keseluruhan blok menara pejabat; TTDI Sentralis, sebuah pembangunan bercampur yang terletak di Shah Alam serta TTDI Ayana, sebuah pembangunan kediaman yang akan dilancarkan tidak lama lagi," katanya.

Naza TTDI akan melancarkan TTDI Ayana pada separuh kedua 2018 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM395 milion.

TTDI Ayana yang dibangunkan di atas kawasan bekas tanaman getah seluas 12.7 ekar, bakal bertukar wajah menjadi pembangunan mewah dengan 212 unit kondominium dan 112 unit villa bandar.

Menyasarkan rumah yang boleh didiami oleh tiga generasi, unit-unit terbabit berkeluasan daripada 1,421 kaki persegi (kps) hingga 3,090 kps.

Pembangunan terletak di Kwasa Damansara itu bertemakan kehidupan lestari dan penduduk TTDI Ayana bakal menikmati kehidupan resort dengan 55 peratus tanahnya diperuntukkan bagi penanaman tumbuh-tumbuhan.

Berita Harian X