Rabu, 24 Januari 2018 | 9:16pm

Wings Air Indonesia mulakan penerbangan Pontianak-Kuching

KUALA LUMPUR: Wings Air, anak syarikat penerbangan swasta terbesar Indonesia, Lion Air Group, memulakan penerbangan dua kali sehari dari Pontianak, Kalimantan Barat ke Kuching, Sarawak hari ini.

"Kami gembira atas inisiatif Wings Air dalam memenuhi kehendak dan keperluan masyarakat," kata Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, penerbangan tambahan itu menandakan satu lagi kejayaan besar bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan sasarannya untuk menjadi lapangan terbang yang kompetitif di Malaysia, dan menambah sehingga Disember 2017, lapangan terbang itu mengendalikan lima juta penumpang masuk dan keluar.

Beliau berkata, MAHB yakin laluan baharu dari dan ke Kuching itu akan memberi manfaat kepada industri pelancongan dan membawa masuk banyak kelebihan ekonomi ke negeri itu.

Laluan itu adalah destinasi baharu pertama Wings Air tahun ini.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat Lion Air Group, Ramaditya Handoko, berkata permintaan ke kedua-dua destinasi itu cukup tinggi untuk Lion Air melaksanakan penerbangan dua kali seminggu.

Beliau berkata ada kemungkinan kekerapan penerbangan akan ditambah.

"Bagi operasi ini, Wings Air akan menggunakan pesawat ATR 72-500 atau ATR 72-600 yang menyediakan 72 tempat duduk kelas ekonomi," katanya.

"Kami berharap kehadiran Wings Air di laluan ini akan memenuhi keperluan penduduk Pontianak, Kuching, dan kawasan sekitarnya dari segi pelancongan dan lawatan lawatan keluarga, selain MICE (Mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran).

"Kami yakin laluan baharu ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi di Pontianak," katanya.

Wings Air juga merancang meluaskan laluan antarabangsanya dari Pontianak ke destinasi lain di Malaysia tidak lama lagi.

Laluan domestik tambahan juga akan ditawarkan, disokong oleh barisan pesawat baharu tahun ini.

Wings Air kini terbang ke lebih 105 destinasi domestik di Indonesia, dengan 351 penerbangan berjadual setiap hari. - BERNAMA

Berita Harian X