Isnin, 8 Januari 2018 | 12:52pm

MoU bangunkan projek tenaga di Pahang

KUALA LUMPUR: Malakoff Corporation Bhd, syarikat di bawah MMC Group, sebentar tadi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Touch Meccanica Sdn Bhd (TMn).

Ia bagi cadangan kerjasama membangunkan beberapa projek tenaga diperbaharui (RE), khususnya solar photovoltaic berskala besar dan jana kuasa hidro mini, di Pahang.

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju membincangkan asas eksklusif berhubung pelaksanaan projek berkenaan.

Selain itu, Malakoff akan melaksanakan kajian daya maju berhubung aspek teknikal dan komersial projek berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, mewakili Malakoff manakala TMn diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Datuk Abdul Aziz Tengku Ibrahim.

Majlis disaksikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Ahmad Fuaad berkata, MoU itu adalah platform untuk bertukar pengetahuan dan kepakaran yang akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

Beliau berkata, ia juga membuktikan komitmen Malakoff untuk mengembangkan RE dalam portfolio penjanaan kuasa elektriknya.

Projek itu katanya, bakal menjadi pemangkin bagi Malakoff dalam memainkan peranan lebih besar dan bermakna dalam pembangunan RE di Malaysia.

Malakoff adalah pengeluar tenaga bebas (IPP) terbesar di Malaysia dengan keupayaan menjana 6,346 MW tenaga elektrik daripada tujuh loji jana kuasanya.

TMn adalah anak syarikat milik penuh Touch Group Holdings Sdn Bhd.

Berita Harian X