Selasa, 2 Januari 2018 | 11:53am

Public Bank tawar hadiah bersadur emas

KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd (Public Bank) melancarkan Kempen PB Golden Fortune bersempena sambutan Tahun Baharu Cina dengan menawarkan hadiah yang menyerupai emas.

Dalam satu kenyataan, ia berkata tempoh promosi kempen itu bermula dari 1 Januari hingga 31 Mac depan dan terbuka kepada semua pelanggan Public Bank baharu atau sedia ada.

Katanya, terdapat dua pelan iaitu Pelan PB Golden dan Pelan PB Fortune untuk dipilih pelanggan.

"Pelanggan boleh memilih Unit Amanah (UA) atau PB Smart Link (PBSL) atau Akaun Pelaburan Emas (GIA) yang digabungkan dengan Akaun PLUS atau Semasa/Simpanan Basic bagi mendapatkan hadiah eksklusif berkenaan.

"Pelan PB Golden menawarkan satu unit "Burung Jenjang Berkembar Bertuah" manakala Pelan PB Fortune menawarkan satu unit "Skrol Koi Emas".

"Kedua-dua hadiah berkenaan disadur dengan emas 24K yang menarik dan direka secara eksklusif untuk kempen berkenaan.

"Hadiah berkenaan juga melambangkan usia yang panjang, kekayaan dan kejayaan. Ia edisi terhad dan hanya boleh diperoleh atas dasar siapa cepat dia dapat dan sementara stok masih ada," katanya

Kenyataan menambah, kempen berkenaan dibuat untuk pelanggan yang mencari produk pelaburan yang pelbagai dalam mencapai matlamat kewangan mereka.

"Pelanggan boleh memilih mana-mana dana UA mengikut kesanggupan mereka menanggung risiko dalam mencapai matlamat kewangan mereka, menerusi perancangan kewangan yang baik.

"Pelanggan juga boleh melabur dalam PB Smart Link yang juga pelan insurans berkaitan dengan pelaburan yang memberi perlindungan insurans.

"Pelanggan juga boleh memilih untuk melabur dalam emas, tanpa perlu menyimpan emas dalam bentuk fizikalnya, melalui Akaun Pelaburan Emas yang terus menjadi alat pelaburan yang popular untuk melindungi kekayaan," katanya.

Berita Harian X