X
Jumaat, 22 Disember 2017 | 8:13pm
PENGERUSI Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar pada sidang media selepas taklimat prestasi suku keempat PNB dan pengumuman pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim
PENGERUSI Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar pada sidang media selepas taklimat prestasi suku keempat PNB dan pengumuman pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

PNB cadang perkenal model saham-i

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) bercadang memperkenalkan instrumen senaraian awam berkaitan perkhidmatan kewangan menerusi cadangan saham-i atau 'i-shares' yang berlandaskan syariah.

Pengerusi Kumpulannya, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata jika cadangan saham-i itu berjaya direalisasikan, ia mampu merancakkan pasaran modal berlandaskan syariah di negara ini.

Beliau berkata, setakat ini, terdapat tiga saham perkhidmatan kewangan berlandaskan syariah yang disenaraikan di bursa saham tempatan iaitu BIMB Holdings Bhd, Syarikat Takaful Malaysia Bhd dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dengan jumlah permodalan pasaran kira-kira RM15 bilion.

Jumlah itu, katanya, adalah kecil jika dibandingkan dengan permodalan pasaran saham syarikat perkhidmatan kewangan konvensional yang tidak berlandaskan syariah.

Namun, beliau berkata masih banyak perkara yang perlu dilakukan sebelum cadangan model saham-i itu dapat direalisasikan.

"Rundingan dan persetujuan pelbagai Majlis Penasihat Syariah diperlukan untuk memperkenalkan model ini," katanya pada sidang media selepas taklimat prestasi suku keempat PNB dan pengumuman pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) di sini, hari ini.

Abdul Wahid berkata, cadangan memperkenalkan model itu juga adalah sejajar dengan usaha PNB untuk memenuhi aspirasi berlandaskan syariah terhadap produk dan perkhidmatan ditawarkannya.

Dalam perkembangan lain, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata PNB akan melancarkan portal myASNB versi 2.0 pada Februari atau Mac tahun depan sejajar dengan usahanya untuk meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggannya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menjalin kerjasama dengan bank di negara ini untuk membolehkan pemegang unit amanah PNB menyemak baki dan membuat pelaburan baharu menerusi mesin juruwang automatik (ATM).

Berita Harian X