Rabu, 6 Disember 2017 | 8:08pm
DATUK Seri Ahmad Razif Abd Rahman (tengah) bergambar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum di antara Terengganu Kitchen Sdn Bhd dan Brahim's Sats Food Service Sdn Bhd, Koperasi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (Terengganu) serta Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu hari ini.- Foto BERNAMA
DATUK Seri Ahmad Razif Abd Rahman (tengah) bergambar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum di antara Terengganu Kitchen Sdn Bhd dan Brahim's Sats Food Service Sdn Bhd, Koperasi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (Terengganu) serta Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu hari ini.- Foto BERNAMA

Makanan tradisi Terengganu ke pasaran global

KUALA LUMPUR: Terengganu Kitchen Sdn Bhd (T-Kitchen), pengeluar makanan sejuk beku tradisi Terengganu berjaya menembusi pasaran antarabangsa apabila produknya kini dipasarkan di United Kingdom (UK) dan Australia.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata ia hasil kerjasama dengan Global Ikhwan Sdn Bhd melalui jualan di premis Restoran Ikhwan di Eropah dan Australia, selain kerjasama dengan Chicken Cottage Investment Ltd bagi pasaran London.

"Minggu lalu, kami baru saja memasarkan 10,000 bungkus nasi dagang dan keropok lekor ke London dan hasil yang diterima sangat menggalakkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara T-Kitchen dengan Brahim's SATS Food Services Sdn Bhd (Brahim's) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Brahim's Holdings Bhd, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi; Naib Presiden DPIM Terengganu, Datuk Dr Abdul Latiff Awang dan Pengarah T-Kitchen, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, syarikat yakin kerjasama strategik dengan Brahim's dan DPIM bakal menjadi pintu masuk untuk meluaskan lagi pasaran luar negara T-Kitchen ke negara ASEAN, Asia dan Asia Barat.

"Kami yakin kerjasama strategik ini akan membuka jalan kepada perkongsian makanan tradisional Terengganu ke seluruh dunia. Malah kami dalam proses penyelidikan untuk menghasilkan pelbagai produk makanan tradisional Terengganu untuk pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya

Mengenai kerjasama strategik itu, Ahmad Razif berkata T-Kitchen menyasarkan jualan RM2.5 juta pada tahun depan, hasil perluasan produk sejuk bekunya iaitu nasi dagang dan keropok lekor melalui dua pihak terbabit di dalam dan luar negara.

Beliau berkata, anggaran unjuran jualan daripada Brahim's pada 2018 adalah sebanyak RM1.3 juta atau 240,000 bungkus manakala RM1.2 juta atau 220,000 bungkus melalui DPIM.

Jumlah itu, katanya tidak termasuk jualan dan pendapatan hasil pemasaran T-Kitchen dan pihak pemasaran yang lain.

"Kerajaan negeri Terengganu melalui Terengganu Inc melabur RM2 juta bagi meningkatkan kapasiti kemudahan pengeluaran produk. Ia termasuk pengeluaran secara komersial bermula Oktober lalu di kemudahan kami di Chendering, Kuala Terengganu.

"Buat ketika ini kemudahan T-Kitchen dapat menghasilkan 5,000 bungkus sehari produk sejuk beku dan jika permintaan memberangsangkan kami akan meningkatkan pengeluaran sebanyak 10,000 bungkus sehari," katanya.

Berita Harian X