Khamis, 26 Oktober 2017 | 6:19pm
KETUA Pegawai Eksekutif Honda, Takahiro Hachigo.
KETUA Pegawai Eksekutif Honda, Takahiro Hachigo.

Honda di Malaysia catat rekod

TOKYO: Malaysia antara pasaran paling penting bagi Honda Motor Co Ltd (HMC) di peringkat global, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Takahiro Hachigo.

Dalam pertemuan selama setengah jam wartawan Malaysia, Taiwan dan New Zealand dengan Hachigo di ibu pejabat HMC di Aoyama di sini, Hachigo menjelaskan bahawa beliau membuat penarafan sedemikian dengan menyandarkan kepada prestasi bahagian pasaran Honda Malaysia.

Menurut Hachigo yang menerajui HMC sejak Jun 2015, dalam persekitaran global Honda, bahagian pasaran yang dikuasai operasi di Malaysia berada pada kedudukan nombor satu pada September 2017.

"Di Malaysia (sekarang) bahagian pasaran Honda di tempat kedua (Januari-September 2017), tetapi pada 2016 kami menjadi jenama asing nombor satu.

"Jadi bagi saya prestasi Honda di Malaysia sangat baik, sebab itu Malaysia sangat penting bagi kami," kata CEO berusia 58 tahun itu yang memulakan kerjaya di HMC pada 1982 sebagai jurutera chasis.

Pada 2016, Honda Malaysia menjual 91,830 unit, mewakili 15.8 peratus pasaran, kedua tertinggi dalam operasi peringkat global Honda. Pada 2015, Honda Malaysia menjual 94,902 unit.

Dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, Honda Malaysia menjual 78,742 unit mewakili 36.1 peratus bahagian pasaran. Pada September tahun ini 7,906 unit dijual mewakili 19.3 peratus bahagian pasaran.

Ditanya rancangan pelaburan tambahan atau projek pembesaran kepada loji pemasangan sedia ada di Melaka lantaran prestasi baik itu, Hachigo yang nampak sangat gembira berbicara mengenai operasi Malaysia berkata: "Encik Aoyama (sambil berpaling kepada Shinji Aoyama, Ketua Pegawai Operasi Asia dan Oceania) akan buat keputusan yang bersesuaian bagi pasaran Malaysia yang pesat berkembang.

Sejak mengambil alih teraju kepemimpinan, Hachigo yang sudah melalui seluruh ekosistem Honda, pada Jun lalu mengumumkan Visi 2030, antara misi paling menonjol program elektrifikasi kenderaan.

Antara misi visi itu ialah sasaran dua pertiga atau 65 peratus kenderaan dijual menjelang 2030 ialah kenderaan elektrik (EV). Daripada jumlah berkenaan 50 peratus varian hibrid dan plug-in-hybrid (PHEV) manakala 15 peratus lagi kenderaan bebas asap sepenuhnya (EV - bateri dan fuel-cell (FCV).

Honda menjual lebih lima juta unit kenderaan tahun lalu.

Mengulas persoalan kemungkinan program elektrifikasi kenderaan EV akan berhadapan halangan Amerika Syarikat (AS) dan Russia, antara pengguna dan pengeluar minyak utama dunia, Hachigo memperjelaskan aspirasi sebenar daripada pengeluaran EV.

"EV bukan dikeluarkan semata-mata untuk guna sumber kuasa berasaskan elektrik, tetapi matlamatnya menjaga alam sekitar menerusi kenderaan yang bebas kabron.

"AS, Russia malah majoriti warga dunia sudah sepakat mahukan alam sekitar yang selamat. Jadi berdasarkan konsensus sebegitu yang penting keputusan pengguna, apa yang mereka mahu. AS, Russia bukan halangan kepada program elektrifikasi kenderaan," katanya.

Bagi Hachigo, tiga cabaran utama program elektrifikasi kenderaan ialah teknologi, bagaimana mengurangkan kos (aspek perniagaan) dan pembangunan infrastruktur menyokong EV di setiap pasaran.

Mengulas reaksi pasaran mengenai kedudukan Honda tanpa pakatan dengan pengeluar lain, Hachigo berkata, keadaan akan kekal begitu.

Bagaimanapun, Honda tidak menolak kerjasama untuk manfaat bersama, cuma tiada hasrat ke arah pakatan membabitkan suntikan ekuiti atau modal dengan pengeluar lain.

"Tak semua akan kami buat sendiri. Bagi projek elektrifikasi umpamanya, ada rancangan kerjasama dengan Hitachi Automotive. Kami juga ada bekerjasama dengan Waymo dalam bidang automasi manakala dalam bidang FCV, kami ada usaha sama dengan General Motors (GM) membuka sebuah kilang di Michigan," katanya.

Berita Harian X