Ahad, 8 Oktober 2017 | 10:53pm
KETUA Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin. - Foto Siti Azila Alias
KETUA Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin. - Foto Siti Azila Alias
PENGASAS Color Silk, Vanntha Ngorn. - Foto Siti Azila Alias
PENGASAS Color Silk, Vanntha Ngorn. - Foto Siti Azila Alias

Maybank bantu wanita miskin Kemboja

TAKEO, Kemboja: Kebanyakan wanita di Kemboja, terutama yang tinggal di luar bandar masih hidup dalam kedaifan apabila menjadi mangsa diskriminasi dalam keluarga.

Sudah menjadi budaya di sini, anak lelaki diberi keutamaan keluarga untuk mendapat pendidikan, manakala wanita hanya tinggal di rumah dan tidak kurang yang dipaksa keluar bekerja bagi menyara keluarga.

Menyedari hakikat itu, Yayasan Maybank bersama Color Silk, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu memperkenalkan program 'Maybank Women Eco-Weavers' dengan mewujudkan pusat latihan menenun, khusus bagi wanita dalam usaha memperkasakan ekonomi golongan itu, sekali gus membantu mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Terletak di Wilayah Takeo, kira-kira 65 kilometer dari bandar Phnom Penh, pusat berkenaan yang dirasmikan pada 1 Ogos lalu tidak hanya menjadi tempat kepada wanita untuk menjana pendapatan menerusi latihan vokasional yang disediakan tetapi, pada masa sama memberi peluang kepada remaja meneruskan pembelajaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin, berkata sebanyak AS$600,000 diperuntukkan bagi melaksanakan program berkenaan untuk tempoh tiga tahun dengan menyasarkan seramai 150 penenun.

PUSAT latihan menenun yang ditubuhkan Yayasan Maybank bersama Color Silk. - Foto Siti Azila Alias
PUSAT latihan menenun yang ditubuhkan Yayasan Maybank bersama Color Silk. - Foto Siti Azila Alias

PENENUN sedang menjalani latihan dengan dikendalikan tiga tenaga pengajar berpengalaman dalam industri tenunan. - Foto Siti Azila Alias
PENENUN sedang menjalani latihan dengan dikendalikan tiga tenaga pengajar berpengalaman dalam industri tenunan. - Foto Siti Azila Alias

Setakat ini, katanya, seramai 50 penenun wanita daripada keluarga miskin tegar sudah menerima latihan di situ sejak ia dibuka tahun lalu, manakala kumpulan ketiga membabitkan 25 penenun sedang menjalani latihan dengan dikendalikan tiga tenaga pengajar berpengalaman dalam industri tenunan.

"Setiap penenun akan diberi latihan selama enam bulan bermula dari proses awal menghasilkan benang sehingga menjadi kain sutera.

"Tujuan kita mengadakan kerjasama dengan Color Silk ini adalah bagi menghidupkan semula industri tenun di Kemboja, selain membantu penduduk tempatan meningkatkan taraf ekonomi keluarga mereka," katanya.

Produk tenunan Kemboja sebenarnya amat unik dengan pengeluarannya membabitkan proses menenun tradisional serta membabitkan proses pewarnaan mesra alam menggunakan 'dye' semula jadi daripada tumbuh-tumbuhan, mineral, kayu dan bijih besi.

Namun di bawah pemerintahan rejim Khmer Rouge di mana lebih tiga juta rakyatnya mati akibat kebuluran, pembunuhan, penyakit dan kerja berlebihan yang berakhir pada hujung 1970-an, kraf tradisi itu berdepan masa depan suram dan kepupusan.

Pada zaman Khmer Rouge, pokok mulberi yang menjadi sumber utama dalam penghasilan sutera (daun pokok ini dimakan ulat sutera) ditebang secara meluas manakala kawasan penanaman kapas pula ditukar kepada tanaman padi termasuk di Takeo.

PESERTA program Maybank Women Eco-Weavers bergambar selepas Majlis Graduasi yang diadakan di Pusat Latihan Menenun Yayasan Maybank di Takeo, Kemboja, baru-baru ini. - Foto Siti Azila Alias
PESERTA program Maybank Women Eco-Weavers bergambar selepas Majlis Graduasi yang diadakan di Pusat Latihan Menenun Yayasan Maybank di Takeo, Kemboja, baru-baru ini. - Foto Siti Azila Alias

KEPOMPONG ulat sutera yang akan diproses untuk menghasilkan benang seterusnya ditenun menjadi kain sutera Kemboja yang berkualiti tinggi. - Foto Siti Azila Alias
KEPOMPONG ulat sutera yang akan diproses untuk menghasilkan benang seterusnya ditenun menjadi kain sutera Kemboja yang berkualiti tinggi. - Foto Siti Azila Alias

Shahril Azuar berkata, pembukaan pusat latihan itu turut membuka pintu rezeki buat 147 keluarga miskin tegar di kawasan terbabit untuk menambah pendapatan menerusi penanaman pokok mulberi yang menjadi sumber makanan utama ulat sutera.

"Setakat ini, sebanyak 21,000 pokok mulberi ditanam sekitar rumah penduduk. Hasil yang dituai kemudian dijual kepada pusat latihan menenun untuk diberi makan kepada ulat sutera," katanya.

Sementara itu, pengasas Color Silk, Vanntha Ngorn berkata, pusat berkenaan menerima pelatih seawal usia 15 tahun selain ibu tunggal serta wanita dari keluarga miskin tegar yang tidak mempunyai pengalaman dalam seni berkenaan.

"Pusat ini akan membayar antara AS$30 hingga AS$40 sebulan sepanjang fasa latihan. Remaja yang masih bersekolah akan tetap meneruskan pelajaran dan hanya datang ke sini pada hujung minggu. Ini memastikan mereka tidak akan tercicir, sekali gus wang yang diterima dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan sekolah serta keperluan keluarga," katanya.

Dalam pada itu, seorang pelatih, Sreykeo Pnlak, 17, berterima kasih kepada Yayasan Maybank kerana memberi peluang kepadanya untuk mendapat latihan di situ.

Katanya, kehidupan mereka sekeluarga amat susah selepas kematian bapa dua tahun lalu dan hanya bergantung kepada hasil tani sebagai sumber makanan setiap hari.

Bagaimanapun, sejak menyertai pusat latihan itu, dia mampu memberikan wang kepada ibunya untuk dibelanjakan bagi membeli keperluan harian.

"Saya mahu belajar bersungguh-sungguh dan berharap suatu hari nanti dapat menjadikan seni tenunan ini sebagai punca pendapatan tetap bagi membantu keluarga," katanya.

PERTUNJUKAN fesyen pakaian tradisional Kemboja yang dihasilkan daripada kain sutera ditenun pelatih di pusat latihan menenun yang ditubuhkan Yayasan Maybank bersama Color Silk. - Foto Siti Azila Alias
PERTUNJUKAN fesyen pakaian tradisional Kemboja yang dihasilkan daripada kain sutera ditenun pelatih di pusat latihan menenun yang ditubuhkan Yayasan Maybank bersama Color Silk. - Foto Siti Azila Alias

INFO

  • Yayasan Maybank bersama Color Silk, memperkenalkan program 'Maybank Women Eco-Weavers'.
  • Mewujudkan pusat latihan menenun, khusus bagi wanita dalam usaha memperkasakan ekonomi golongan itu.
  • AS$600,000 diperuntukkan bagi melaksanakan program itu untuk tempoh tiga tahun dengan menyasarkan seramai 150 penenun.

Berita Harian X