Jumaat, 18 Ogos 2017 | 8:27pm

IGB REIT Capital cadang terbit MTN RM5 bilion

KUALA LUMPUR: IGB REIT Capital Sdn Bhd bercadang menerbitkan nota jangka sederhana (MTN) di bawah Program Nota Jangka Sederhana dengan nilai nominal RM5 bilion.

IGB REIT Capital ialah anak syarikat milik penuh IGB Real Eastate Investment Trust (IGB REIT).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, IGB REIT berkata, program MTN itu akan mempunyai tempoh 20 tahun dari tarikh terbitan pertama.

Terbitan MTN dari semasa ke semasa di bawah Program MTN boleh dinilai dan/atau tidak dinilai serta akan ditentukan sebelum setiap terbitan.

Setiap MTN yang dinilai/tidak dinilai yang akan diperoleh oleh aset/hartanah IGB REIT akan dikenal pasti sebelum terbitan berkenaan.

Hasil yang dikumpul daripada terbitan MTN boleh digunakan untuk membiayai aktiviti pelaburan IGB REIT, tetapi tidak terhad kepada perbelanjaan modal, pengukuhan aset dan pengambilalihan berkaitan serta perbelanjaan pembiayaan.

Ia juga akan digunakan untuk membiayai semula pinjaman/kemudahan sedia ada dan/atau masa depan, serta sebagai keperluan modal kerja dana, kata kumpulan itu. - BERNAMA

Berita Harian X