Jumaat, 4 Ogos 2017 | 8:00am

KWSP tuai hasil pelaburan di London

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja menjual sebuah lagi bangunan pejabat miliknya di London, Tower Bridge House, pada harga STG205 juta (RM1.15 bilion), kepada Mirae Asset Global Investment Group yang berpangkalan di Seoul, Korea Selatan.

Sumber berkata, dengan penjualan itu KWSP dianggarkan memperoleh keuntungan dari segi kenaikan harga hartanah serta tukaran asing lebih RM360 juta.

Tower Bridge House, yang sebelum ini dikenali sebagai bangunan K2 di St Katharine Docks, London dibeli KWSP pada Ogos 2011 pada harga STG163 juta (RM790 juta) daripada CS Euroreal, sebuah dana terbuka yang diuruskan Credit Suisse. Turut dibeli ketika itu adalah bangunan pejabat 11-12 St James's Square.

"Difahamkan urus niaga pembelian Mirae Asset Global Investments Group itu akan diuruskan Colliers International iaitu firma pengurusan aset Mirae Asset Financial Group.

"Firma, yang menjadi salah satu pelabur terbesar dalam pasaran ekuiti negara ekonomi baru muncul itu, kini menguruskan lebih aset bernilai lebih AS$100 bilion (RM). Ia melabur di Australia, Brazil, Kanada, China, Colombia, Hong Kong, India, Korea, Taiwan, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam," katanya.

Pada Januari lalu, KWSP melalui ejen hartanah terkemuka, Savills Investment Management, membuat tawaran untuk menjual Tower Bridge House bersama satu lagi hartanah miliknya di London iaitu 11-12 St James's Square.

Bangunan pejabat 11-12 St James's Square telah dijual kepada kumpulan pelabur yang diketuai Chinese Estates, pada Mei lalu pada harga STG175 juta (RM980 juta), dengan keuntungan kira-kira RM275 juta berbanding harga belian STG147.5 juta atau kira-kira RM715 juta pada kadar tukaran ketika itu.

KWSP pada Februari lalu berkata, ia berhasrat menuai hasil daripada pelaburannya dalam hartanah di London.

Tabung persaraan itu menegaskan, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada strategi pelaburannya dalam memaksimumkan pulangan kepada pencarum.

"Kami akan menjual aset pelaburan apabila nilai hartanah tinggi dan berasaskan kitaran pasaran," katanya.

Katanya lagi, hanya keuntungan daripada pelaburan itu akan dibawa balik, sementara modalnya akan dilaburkan semula dalam pelaburan lain.

Berita Harian X