Jumaat, 14 Jun 2024 | 12:06pm
Perbandaran Saujana KLIA.
Perbandaran Saujana KLIA.

Strategi Glomac tumpu pelancaran, jualan baharu buahkan hasil

KUALA LUMPUR: Strategi Glomac Bhd untuk menggunakan pendekatan yang lebih tertumpu kepada pelancaran dan jualan baharu, selain penekanan kepada penjanaan aliran tunai operasi yang sihat, membuahkan hasil yang positif.

Pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan berkata, pelancaran terdahulu di pembangunan sedang dalam pembinaan Glomac hampir terjual sepenuhnya.

Ia berkata, dilancarkan pada Januari 2024, rumah teres dua tingkat ALLAMANDA di Saujana KLIA dan semi-D KEYS di Lakeside Residences juga mencapai jualan kukuh masing-masing sebanyak 81 dan 63 peratus dalam tempoh tiga bulan.

Glomac berkata, kejayaan itu disokong keupayaan pengurusan dan pemasaran Glomac sebagai pemaju yang mantap dalam segmen kompetitif pembangunan kediaman mampu milik dan pasaran pertengahan.

"Kumpulan berharap untuk mengekalkan momentum jualannya tahun ini dengan rangkaian projek baharu yang kukuh. Fasa baharu rumah teres dua tingkat di perbandaran Saujana KLIA, Saujana Utama dan Saujana Jaya di Kulai Johor, dengan jumlah anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM174 juta," katanya.

Sementara itu, Glomac berkata lembaran imbangan kumpulan kekal kukuh, dengan penggearan bersih sebanyak 0.07 kali berbanding dana pemegang saham sebanyak RM1.2 bilion.

"Tunai dan deposit bertambah baik kepada RM314.3 juta daripada RM288.8 juta pada akhir tahun kewangan 2023, disokong oleh aliran tunai sebanyak 16 sen sesaham," katanya.

Pemaju hartanah tempatan itu meraih pendapatan RM266.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2024, lebih rendah berbanding RM341 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2023.

Glomac berkata, pendapatan lebih rendah itu disebabkan disebabkan oleh penyiapan beberapa projek pembangunan pada tahun kewangan 2023, termasuk pelbagai fasa kediaman di Saujana Perdana, serta Plaza@Kelana Jaya, pembangunan kediaman bersepadu kumpulan bernilai RM348 juta di daerah Petaling Jaya – Damansara.

Katanya, projek yang baru dilancarkan, walaupun menikmati jualan yang pesat, masih dalam peringkat awal pembangunan dan belum menyumbang dengan ketara kepada hasil kumpulan.

"Bagi tahun kewangan 2024, kumpulan meraih keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM32.9 juta daripada RM50.5 juta pada tahun kewangan 2023.

"Keuntungan yang lebih rendah sebahagian besarnya disebabkan oleh kos pembinaan yang lebih tinggi dan peningkatan faedah perbelanjaan," katanya.

Berita Harian X