Isnin, 3 Jun 2024 | 12:19pm
Hock San (tengah) pada majlis ‘roof topping’ bagi projek Rumah Idaman Melur - Gambar ihsan MGB
Hock San (tengah) pada majlis ‘roof topping’ bagi projek Rumah Idaman Melur - Gambar ihsan MGB

MGB sedia 7,210 unit rumah mampu milik guna teknologi IBS

KUALA LUMPUR: MGB Bhd akan menyediakan sejumlah 7,210 unit rumah mampu milik di bawah inisiatif Rumah Selangorku Idaman MBI dengan penggunaan teknologi konkrit pratuang sistem binaan berindustri (IBS).

Penyedia penyelesaian perkhidmatan dan pembangunan hartanah yang juga anak syarikat LBS Bina Group Bhd itu berdedikasi untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang layak dan menetap di negeri Selangor untuk memiliki rumah mampu milik, sekali gus menyokong matlamat kerajaan negeri untuk membina 30,000 unit rumah mampu milik menjelang tahun 2025.

Sementara itu, MGB juga menyasarkan penyerahan menyerahkan milikan kosong kepada pemilik Rumah Idaman BSP di Bandar Saujana Putra, yang dijadualkan pada suku ketiga tahun ini.

Kedua-dua Rumah Idaman BSP dan Rumah Idaman Melur merupakan antara dua daripada enam buah projek Rumah Selangorku Idaman MBI yang dibangunkan oleh MGB.

MGB pada 24 Mei lalu mengadakan majlis 'roof topping' untuk menandakan bahawa fasa pembinaan struktur bangunan projek Rumah Idaman Melur yang terletak di Cybersouth, Dengkil telah selesai.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San.

MGB berkata, struktur bangunan terbabit yang telah disiapkan kira-kira sebulan lebih awal daripada jadual, adalah hasil daripada penggunaan teknologi inovatif konkrit pratuang IBS.

Ia berkata, kecekapan dan konsistensi merupakan antara elemen penting di dalam proses pembinaan, MGB menekankan kepentingan penggunaan konkrit pratuang IBS dalam projek pembinaannya.

"Setakat kini, IBS telah membantu mengurangkan tempoh pembinaan sebanyak 33 peratus dan penggunaan tenaga buruh sebanyak 31 peratus.

"Kilang IBS milik MGB mampu menghasilkan panel konkrit pratuang IBS untuk membina sebanyak 6,000 unit hartanah setiap tahun," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Hock San berkata majlis 'roof topping' bagi projek Rumah Idaman Melur itu melambangkan hasil kerja keras semua pihak.

Katanya, iamewakili komitmen MGB yang tidak berbelah bahagi terhadap semua yang dilakukan.

"Majlis ini turut menterjemahkan bukti dedikasi kami terhadap pembinaan rumah yang berkualiti. Ia turut memberi manfaat terhadap pembeli yang bakal menikmati gaya hidup di kawasan kejiranan dan komuniti yang berkembang.

Beliau menambah, dengan mempamerkan kepakaran dalam pemasangan konkrit pratuang IBS, MGB berada di dalam kedudukan yang baik untuk pengembangan yang berterusan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Katanya, pesanan belian yang diterima daripada Sany Alameriah untuk pembekalan dan pemasangan elemen pratuang untuk 400 unit pembangunan ROSHN Alarous, Jeddah berada dalam jadual yang ditetapkan, di mana elemen konkrit pratuang telah dibekalkan dan dipasang secara berperingkat.

"Kami kekal fokus untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan," katanya.

Berita Harian X