Selasa, 21 Mei 2024 | 12:12pm
Saarani menandatangani plak pada Majlis Perasmian Bangunan REHDA Perak di Ipoh -NSTP/L.MANIMARAN
Saarani menandatangani plak pada Majlis Perasmian Bangunan REHDA Perak di Ipoh -NSTP/L.MANIMARAN

Perak paling banyak rumah siap tidak terjual tahun lalu

IPOH: Negeri Perak mencatatkan unit kediaman yang sudah siap dibina tetapi tidak terjual atau 'overhang' tertinggi di Malaysia sepanjang 2023 dengan 17.8 peratus atau 4,598 daripada sejumlah 25,816 unit seluruh Malaysia.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Perak, Raymond Chan, berkata jumlah unit 'overhang' di Perak pada tahun lalu meningkat sebanyak 98.9 peratus berbanding hanya 2,312 unit yang direkodkan pada 2022.

Menurutnya, Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan jumlah transaksi hartanah di Perak sepanjang tahun lalu adalah 44,468 unit dengan nilai RM11.319 bilion.

Katanya, daripada jumlah 44,468 unit itu, rumah kediaman merangkumi 27,818 unit bernilai RM6.905 bilion, manakala nilai harta sepanjang tahun sama adalah sebanyak RM6.711 bilion.

"Perak mencatatkan 'overhang' tertinggi di negara dengan peratusan sebanyak 17.8 peratus daripada jumlah 25,816 unit di seluruh Malaysia, manakala Johor merupakan kedua tertinggi (4,228 unit), diikuti Kuala Lumpur (3,535 unit) dan Selangor (3,405 unit)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian bangunan REHDA Negeri Perak di Hala Istana, Jalan Istana, di sini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Mohamed Akmal Dahalan; dan Timbalan Presiden REHDA Malaysia, Datuk Ho Hon Sang.

Chan berkata, berbanding pada 2022, sebanyak 47,867 jumlah transaksi hartanah direkodkan di Perak membabitkan nilai RM11.484 bilion, justeru menyaksikan penurunan kadar transaksi sebanyak 1.4 peratus tahun lalu.

Menurutnya, bagi tahun 2022 unit rumah kediaman di Perak mencatatkan jumlah transaksi sebanyak 30,086 unit rumah kediaman, menyaksikan penurunan kadar sebanyak 7.5 peratus tahun lalu.

"Manakala, nilai harta pada tahun 2023 sebanyak RM6.711 bilion, turun 2.9 peratus berbanding tahun 2022," katanya.

Beliau berkata, REHDA Perak memohon supaya kerajaan negeri dapat menambah baik Dasar Perumahan Negeri termasuk membentuk pasukan petugas untuk mengenalpasti punca rumah yang sudah siap dibina namun tidak dapat dijual.

"Bagi mengelak lambakan hartanah tidak terjual yang boleh menjejaskan aliran tunai kepada pemaju di negeri ini, REHDA Perak menggesa agar pemaju meneliti dan membuat kajian pasaran terlebih dahulu sebelum melancarkan sesuatu projek bagi memastikan harga dan jenis kediaman yang hendak dibina menepati kehendak pasaran serta kelayakan pinjaman peribadi.

"Dalam usaha memastikan lebih ramai orang mampu memiliki rumah, REHDA Perak sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi kerajaan untuk menyelesaikan cabaran yang dihadapi oleh industri menangani ketidaktentuan ekonomi," katanya.

Sementara itu, Saarani berkata LPHP menganggarkan sebanyak 57,407 unit rumah diperlukan di Perak menjelang 2030 dengan LPHP serta Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) diberikan tanggungjawab sebagai agensi utama negeri menerajui agenda menyediakan perumahan mampu milik.

Beliau berkata, Dasar Perumahan Negeri yang sentiasa ditambah baik mewajibkan setiap pemajuan skim perumahan melebihi 20 ekar untuk menyediakan 10 peratus rumah kos rendah, 10 peratus rumah kos sederhana, dan 20 peratus rumah mampu milik yang dijual pada harga serendah RM90,000 seunit.

Berita Harian X