Isnin, 20 Mei 2024 | 7:17pm
Saarani berucap pada Majlis Perasmian Bangunan REHDA Perak di Ipoh -NSTP/L.MANIMARAN
Saarani berucap pada Majlis Perasmian Bangunan REHDA Perak di Ipoh -NSTP/L.MANIMARAN

Perak perlu lebih 57,000 unit rumah menjelang 2030

IPOH: Perak memerlukan 57,407 unit rumah menjelang 2030, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, unjuran itu dibuat berasaskan kepada pelbagai projek pembangunan seperti Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) serta pembukaan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP).

"Apabila negeri dibangunkan dengan pelbagai projek pembangunan dan ada peluang pekerjaan bermakna ada keperluan untuk menyediakan unit rumah itu meliputi rumah kos rendah, kos sederhana dan mampu milik," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bangunan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Perak di Taman Istana, di sini hari ini.

Saarani berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) serta Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) telah diberi tanggungjawab sebagai agensi utama negeri yang menerajui agenda menyediakan perumahan mampu milik.

Sementara itu, beliau berkata cadangan supaya Dasar Perumahan Negeri Perak 2018-2025 dikaji semula dengan penekanan kepada pembinaan rumah berharga RM200,000 dan ke bawah, perlu mengambil kira pelbagai faktor antaranya peningkatan kos bahan binaan seperti besi yang perlu diimport.

Saarani berkata, pemain industri binaan juga mesti dilayan dengan adil khususnya apabila mereka perlu membeli bahan binaan dengan harga mahal, namun perlu menjual rumah pada harga tertentu.

"Saya rasa ini bukan sahaja berlaku di Perak, malah seluruh negara, tentang keperluan untuk pemain industri binaan ini membeli barang binaan daripada negara luar dengan cukai yang tinggi. Jadi kalau dapat kita kawal (kadar) cukai import itu mungkin kita boleh mengurangkan kenaikan harga rumah," katanya.

Pengerusi REHDA Perak, Raymond Chan dalam ucapannya berkata, laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan jumlah transaksi hartanah di Perak sepanjang tahun lalu ialah 44,468 unit bernilai RM11.319 bilion.

Beliau berkata, jumlah itu mengalami penurunan sebanyak 1.4 peratus berbanding 47,867 unit bernilai RM11.484 bilion pada 2022.

Menurutnya, laporan NAPIC juga mendapati bahawa sepanjang 2023, sejumlah 4,598 unit kediaman telah siap dibina tetapi tidak terjual atau 'overhang'.

"Perak mencatatkan 'overhang' yang tertinggi dengan peratusan sebanyak 17.8 peratus daripada jumlah 25,816 unit di seluruh negara," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X