Sabtu, 4 Mei 2024 | 10:53am
Nadi 2 terdiri daripada 212 pejabat kedai, 12 kedai berkembar, pelbagai saiz tanah perusahaan dan tanah stesen minyak - Gambar ihsan S P Setia
Nadi 2 terdiri daripada 212 pejabat kedai, 12 kedai berkembar, pelbagai saiz tanah perusahaan dan tanah stesen minyak - Gambar ihsan S P Setia

S P Setia lancar pembangunan komersial Nadi 2

KUALA LUMPUR: S P Setia Bhd hari ini melancarkan Nadi 2 di Setia Commerce Square, yang terletak di pusat perniagaan perbandaran Setia EcoHill 2, Semenyih.

Nadi 2 merupakan fasa kedua pembangunan komersial Nadi yang terdiri daripada 212 pejabat kedai, 12 kedai berkembar, pelbagai saiz tanah perusahaan dan tanah stesen minyak.

Ia disasarkan untuk menjadi salah satu daerah komersial yang paling aktif di koridor Semenyih dengan lokasi strategiknya yang bersebelahan dengan Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS).

Pengurus Besar Bahagian S P Setia Bhd, Koh Sooi Meng, berkata pihaknya telah meraih momentum dengan pelancaran fasa pertama Nadi sebelum ini pada suku kedua 2023 yang terdiri daripada 86 unit kedai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM180 juta dan telah dijual sepenuhnya.

"Seterusnya, kami akan melancarkan Nadi 2 pada Mei 2024 dengan menawarkan beberapa jenis produk seperti kedai teres dua tingkat konvensional, diikuti 36 unit perantaraan terdiri daripada binaan seluas 3,585 kaki persegi dan dengan harga tentatif RM1.49 juta ke atas.

"Ia juga akan menawarkan lapan unit kedai sudut tiga tingkat yang luas terdiri daripada binaan seluas 8,202 kaki persegi, dengan harga tentatif RM3.28 juta ke atas," katanya dalam satu kenyataan.

Sooi Meng berkata, pembangunan ini juga akan menampilkan enam kedai berkembar edisi terhad untuk keperluan pelbagai jenis perniagaan dengan binaan seluas 5,422 kaki persegi dan anggaran harga RM3.58 juta ke atas.

Beliau berkata, Nadi 2 akan merangkumi sebahagian daripada presint komersial Setia Commerce Square yang terletak di tengah-tengah perbandaran Setia EcoHill 2 seluas 1,010 ekar serta dikelilingi oleh perbandaran seperti Eco Majestic, Beranang, Pelangi Semenyih 2, Bukit Mahkota, Tasik Kesuma dengan lebih 100,000 kawasan tadahan siap dari perbandaran sekitarnya.

Ia juga menawarkan unit-unit luas dan terbuka untuk konfigurasi perniagaan yang mudah dengan menyasarkan perniagaan makanan dan minuman, perniagaan runcit dan industri perkhidmatan seperti restoran, klinik, pasar raya mini, bilik pameran kereta, kedai serbaneka, kafe butik dan pusat pendidikan untuk menyokong pembangunan perbandaran serba lengkap ini.

"Pembangunan ini terletak bersebelahan dengan EcoHill Link, dengan akses ke Lebuhraya LEKAS dan Jalan Semenyih. Setia EcoHill 2, juga merupakan pelan lanjutan daripada pelan induk Setia EcoHill di Semenyih yang mempunyai GDV sebanyak RM5 bilion.

"Perbandaran campuran yang mempunyai jumlah simpanan tanah seluas 1,010 ekar dengan lebih daripada 80 ekar dikhaskan untuk taman hijau manakala kira-kira 17 ekar taman, diperuntukkan untuk South Creek dan 18 ekar Adventure Park," katanya.

Setia EcoHill 2 juga merangkumi tiga profil landskap iaitu Wetlands, Woodlands dan Highlands di mana apabila siap, perbandaran itu akan terdiri daripada lebih 10,000 unit kediaman dengan anggaran penduduk seramai 50,000 oang.

Setia EcoHill 2 juga dikenali dan dikelilingi kawasan alam semula jadi yang terpelihara berdekatan dengan Bukit Tempurung, dengan lebih 10,000 pokok ditanam di sekitar perbandaran terbabit.

Berita Harian X