Ahad, 21 April 2024 | 2:09pm
EXCO Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S Sundarajoo (tiga dari kanan) menyerahkan surat tawaran rumah kepada penerima pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Bagi Projek Perumahan Scientex Sungai Dua. Turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Datuk Alex Khaw (dua dari kanan); Ketua Pegawai Penguatkuasa Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Nadzifah Abd Rahim (dua dari kiri) dan Pengurus Besar Projek Scientex, Tang Song Teik (kiri). - NSTP/DANIAL SAAD
EXCO Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S Sundarajoo (tiga dari kanan) menyerahkan surat tawaran rumah kepada penerima pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Bagi Projek Perumahan Scientex Sungai Dua. Turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Datuk Alex Khaw (dua dari kanan); Ketua Pegawai Penguatkuasa Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Nadzifah Abd Rahim (dua dari kiri) dan Pengurus Besar Projek Scientex, Tang Song Teik (kiri). - NSTP/DANIAL SAAD

Scientex sasar sedia 50,000 rumah harga patut pada 2028

TASEK GELUGOR: Pemaju hartanah, Scientex Bhd semakin hampir dengan sasaran untuk membina 50,000 unit rumah mampu milik menjelang 2028. Sehingga kini, sebanyak 35,063 unit rumah mampu milik yang siap dibina oleh pemaju berkenaan di seluruh negara telah diserahkan kepada pembeli.

Pengurus Besar Projek Bahagian Hartanah Scientex, Tang Song Teik, berkata daripada jumlah itu kira-kira 70 peratus rumah mampu milik berkenaan dijual dengan harga di bawah RM300,000.

"Scientex memiliki tanah seluas 9,216 ekar(hampir 3,730) hektar di 31 lokasi utama melangkaui selatan Johor hingga ke Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, dan Kedah.

"Terbaharu,Scientex telah mengorak langkah ke Bangkok , Thailand dan Jakarta, Indonesia dengan projek usahasama bagimenembusi pasaran hartanah rumah mampu milik di luar negeri, berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam membina rumah mampu milik.

"Scientex terus mengukuhkan kehadiran dalam lokasi projek pembangunan sedia adadan pada masa sama mengekalkan aspirasi untuk meluaskan jejak pembangunan hartanah ke kawasan lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada lebih 30 pembeli Projek Perumahan Scientex Sungai Dua yang disempurnakan EXCO Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S Sundarajoo, di sini, semalam ini.

Mengulas lanjut, Song Teik berkata, susulan permintaan rumah mampu milik yang meningkat di Pulau Pinang juga mendorong Scientex untuk terus berkembang dan mengambil inisiatif untuk membeli tanah di negeri ini.

"Komitmen kami terhadap sokongan terhadap rancangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memastikan setiap keluarga di negeri ini dapat memiliki rumah sendiri mengikut kemampuan masing-masing telah diiringi dengan kesungguhan.

"Scientex telah berjaya memperoleh 343 ekar (hampir 139 hektar) tanah milik kekal dengan nilai pembangunan kasar (GDV) anggaran RM1.744 Billion di Sungai Dua.

"Scientex Sungai Dua adalah sebuah projek pembangunan campuran kedua selepas Scientex Tasek Gelugor (dibina pada 2019) yang merangkumi perancangan sebanyak 5,760 unit hartanah merangkumi pembangunan rumah teres dua tingkat, pejabat kedai, taman rekreasi, dan dewan serbaguna, serta termasuk sekolah, pasar, masjid, dan kemudahan komuniti lain yang boleh meningkatkan gaya hidup harian masyarakat," katanya.

Sementara itu, Sundarajoo memuji usaha Scientex dalam menyediakan perumahan mampu milik yang selesa hingga ia mendapat permintaan tinggi penduduk di negeri ini.

"Orang Pulau Pinang sangat bertuah apabila ada pemaju yang membina rumah di atas tanah 'landed' pada harga mampu milik yang ia sememangnya sangat susah ditemui di negeri ini.

"Bagi kerajaan negeri, kita sememangnya prihatin dengan masalah dan keperluan perumahan yang kita akan minta peruntukan lebih besar daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Dalam pada itu, kita turut memberi tumpuan terhadap usaha baik pulih rumah bagi memastikan tempat tinggal penduduk negeri ini berada dalam keadaan selesa," katanya.

Berita Harian X