Jumaat, 19 April 2024 | 3:04pm
EcoWorld Development Group Bhd (EcoWorld)
EcoWorld Development Group Bhd (EcoWorld)

EcoWorld dijangka rekod jualan lebih RM3.5 bilion

KUALA LUMPUR: EcoWorld Development Group Bhd (EcoWorld) dijangka mengatasi sasaran jualan tahun kewangan 2024 sebanyak RM3.5 bilion, demikian menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Penganalisis Maybank IB, Wong Wei Sum, berkata EcoWorld menjana jualan hartanah sebanyak RM1.26 bilion dalam empat bulan pertama tahun kewangan semasa 2024 berdasarkan daripada rekod syarikat itu dan produknya yang masih dalam pembangunan seperti taman perindustrian dan pangsapuri mampu milik.

"Kami mengekalkan andaian jualan tahun kewangan 2024 sebanyak RM3.7 bilion pada akhir Januari 2024," katanya dalam satu nota penyelidikan.

"Kelulusan untuk pengambilalihan 404 ekar tanah pertanian di Kulai, Johor dijangka diperoleh pada suku ketiga tahun kewangan 2024, di mana tanah yang ditetapkan untuk Eco Business Park VI (EBPVI) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.6 bilion akan menampilkan produk yang serupa dengan taman perniagaan EcoWorld yang lain.

"Ia termasuk kilang yang siap dibina dan dibuat khas bersama dengan plot tanah perindustrian di mana EBPVI telah memperoleh pendapatan yang baik dengan faedahnya sebanyak lebih 30 peratus daripada unitnya yang ditempah sebelum pelancaran rasmi pada suku keempat tahun kewangan 2024," katanya.

Wei Sum berkata, jangkaan sumbangan jualan yang lebih tinggi daripada Eco Rise pada tahun kewangan 2024 disebabkan oleh pelancaran beberapa produk mampu milik seperti projek pangsapuri termasuk projek Sa.Young D' Eco Botanic yang berlangsung pada Oktober 2023.

"Disebabkan permintaan yang kukuh untuk Sa.Young D'Eco Botanic, EcoWorld merancang untuk melancarkan produk yang serupa untuk projek Eco Botanic 3 (EC3) yang akan datang di mana pengambilan tanah untuk EC3 dijangka siap pada akhir tahun kewangan 2024," katanya.

Beliau berkata, EcoWorld dijangka mencapai jualan yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun 2024 didorong oleh pelancaran daripada dua projek baharu di Kajang dan Kulai dengan gabungan GDV sebanyak RM2.1 bilion.

Katanya, projek-projek ini dijadualkan akan dilancarkan pada suku ketiga atau suku keempat tahun kewangan 2024 di mana anggaran jualan tahun kewangan 2024 sebanyak RM3.7 bilion (5.7 peratus lebih tinggi daripada matlamat jualan EcoWorld) akan dikekalkan.

"Sementara itu, terdapat beberapa faktor risiko kepada anggaran pendapatan, harga sasaran dan penilaian kami terhadap EcoWorld.

"Risiko boleh datang daripada kelembapan yang berpanjangan dalam sektor hartanah, kerugian yang lebih tinggi daripada jangkaan daripada ECWI (EcoWorld International) sebanyak 27 peratus, margin operasi yang lebih lemah daripada yang dijangka disebabkan oleh peningkatan belanja pemasaran dan harga bahan binaan, serta perubahan dalam peraturan atau dasar," katanya.

Berita Harian X