Isnin, 1 April 2024 | 4:28pm
Tan Sri Lim Hock San.
Tan Sri Lim Hock San.

LBS anjur kempen tawar pembeli menangi jongkong emas 999.9

KUALA LUMPUR: Pemaju perumahan, LBS Bina Group Bhd (LBS) melancarkan kempen terbaharunya, "Emas Bling-Bling Bersama LBS," menggabungkan suasana Hari Raya bersama komitmen LBS terhadap masyarakat dengan menawarkan peluang keemasan kepada pembeli untuk memiliki rumah baharu dan meraikan sambutan Aidilfitri dengan penuh bergaya.

Menurut LBS, bagi melengkapkan suasana perayaan, kempen itu memberi peluang eksklusif kepada bakal pembeli rumah pertama untuk memenangi Jongkong Emas 999.9, meningkatkan keterujaan terhadap tawaran menarik kempen ini.

Katanya, inisiatif terbabit adalah khusus terhadap rakyat Malaysia yang menghargai semangat komuniti dan sedang mencari tawaran raya terbaik sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

"Selain itu, ia juga dilihat sebagai peluang tambahan menarik bagi komuniti LBS yang sedang mencari rumah kedua.

"Bukan sekadar emas, pakej pembelian rumah ini menawarkan faedah eksklusif bagi pelanggan, seperti pakej perabot khas, yuran keluar sifar serta yuran tempahan yang rendah.

"Selain daripada itu, pelanggan akan didaftarkan secara automatik sebagai ahli seumur hidup LBS Perks & Plusses, sebuah program kesetiaan pelanggan yang membabitkan 50 rakan kerjasama daripada pelbagai kategori seperti Automotif, Peralatan Elektrik, Alatan Rumah, Hospitaliti, Pendidikan dan banyak lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai kempen berkenaan, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group, Tan Sri Dr Lim Hock San berkata, sebagai sebuah pemaju yang mengutamakan nilai kemasyarakatan, pihaknya teruja untuk meningkatkan pengalaman perayaan kepada seluruh pelanggan mereka yang telah menjadi sebahagian daripada keluarga LBS.

"Matlamat kami adalah untuk memberikan pengalaman pembelian rumah yang akan memberikan kegembiraan dan kepuasan terhadap setiap individu, sekali gus mengukuhkan portfolio pelaburan mereka.

"Kenapa emas? Seperti rumah, harga emas semakin meningkat saban hari, dan kami berharap dengan kempen ini, pemilik rumah dapat memperoleh lebih daripada satu aset pelaburan ke dalam portfolio mereka," katanya.

Tambah beliau, membeli rumah bukan sekadar memiliki binaan daripada batu bata, ia juga adalah satu nilai jangka panjang yang akan terus meningkat walaupun selepas proses penyerahan kunci.

Antara projek yang terlibat dengan kempen "Emas Bling Bling Bersama LBS" ialah Prestige Residence di Seri Kembangan, yang turut disiarkan secara langsung di WOWSHOP @ 8TV hari ini dengan yuran tempahan eksklusif sebanyak RM1.

Tempoh kempen berkenaan adalah daripada 1 April sehingga 31 Mei 2024. Untuk maklumat lanjut mengenai kempen dan tawarannya, sila layari www.campaign.lbs.com.my untuk maklumat lanjut. Segala hadiah adalah tertakluk kepada terma dan syarat.

Berita Harian X