Isnin, 11 March 2024 | 1:50pm
Sze Han (tengah) bersama Mahmud (kiri) melihat model industri dan rumah pada Majlis Pelancaran Fasa Pertama GRIP Kota Puteri di Shah Alam hari ini - NSTP/Genes Gulitah
Sze Han (tengah) bersama Mahmud (kiri) melihat model industri dan rumah pada Majlis Pelancaran Fasa Pertama GRIP Kota Puteri di Shah Alam hari ini - NSTP/Genes Gulitah

PKNS lancar fasa pertama taman perindustrian hijau di Kota Puteri

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan fasa pertama komponen pembangunan 13 lot projek taman perindustrian hijau atau dikenali sebagai Green Industrial Park (GRIP) di Kota Puteri, Rawang.

Projek Taman Perindustrian Terurus (MIP) yang dilancarkan Julai tahun lalu itu menerima kira-kira 50 bakal pembeli berpotensi yang berminat membeli lot industri di kawasan berkenaan.

Projek itu berkeluasan 377 ekar untuk tiga fasa, dengan fasa pertama berkeluasan 135 ekar akan bermula pada Mei tahun ini dan dijangka siap pada 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas, berkata projek pembangunan berkonsepkan MIP atau dikenali Taman Perindustrian Berpusat dan Berpagar itu adalah satu inisiatif strategik dengan nilai kasar pembangunan (GDV) dianggarkan sebanyak RM2 bilion.

Katanya, dengan status MIP yang mendapat perakuan daripada pihak berkuasa negeri, pelbagai insentif dapat dimanfaatkan oleh pengilang untuk menjadi lebih kompetitif dan 'hijau'.

"Pembangunan ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam dasar Rancangan Selangor 1 (RS1) yang mementingkan keseimbangan pembangunan fizikal yang lestari.

"Pembangunan membabitkan projek seperti lot industri dan kilang berkembar dengan hakmilik secara individu ini akan dibangunkan secara berfasa. Kami menyasarkan untuk membina hab halal setelah ketiga-tiga fasa siap," katanya semasa Majlis Pelancaran Fasa Pertama GRIP Kota Puteri di sini, hari ini.

Mahmud berkata, PKNS berharap pelancaran 13 lot industri ini akan mampu menarik lebih ramai pemain industri untuk membeli produk GRIP Kota Puteri, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri di kawasan berkenaan serta menyumbang kepada peningkatan lapangan pekerjaan serta pendapatan.

Beliau berkata, GRIP Kota Puteri juga sebahagian daripada ekosistem perbandaran Kota Puteri yang menempatkan kira-kira 9,000 unit rumah dan akan diselenggarakan oleh Pengurus Taman Industri iaitu PKNS FM Integrated Sdn Bhd, yang juga anak syarikat milik penuh PKNS.

"Melalui konsep ini, terdapat 10 elemen yang akan dibangunkan untuk menyokong aktiviti perindustrian berteraskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) antaranya rumah kelab yang menyediakan kemudahan 'ruang kerja bersama', stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), acara banquet, pusat kawalan berpusat serta ruang pameran khas untuk pengilang di GRIP Kota Puteri.

"PKNS juga akan membina Asrama Pekerja Berpusat (CLQ) yang bakal menempatkan kira- kira 4,000 pekerja dengan kira-kira 3,000 hingga 6,000 peluang pekerjaan dijangka tersedia," katanya.

Sementara itu, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han, berkata kerajaan negeri sedang memberi tumpuan untuk menarik pelaburan besar dalam bidang pembuatan sambil meningkatkan sektor perkhidmatan, terutamanya dalam bidang ekonomi digital.

"Kerajaan menggalakkan lebih banyak pertumbuhan industri yang kompetitif dan tahan lama serta berbangga untuk menyumbang dan menyokong pembangunan ini, sejajar dengan komitmen kami untuk memajukan ekonomi dan sosial untuk kedua-dua negeri serta negara," katanya.

Berita Harian X