Rabu, 21 Februari 2024 | 5:35pm
Sunway d’Hill antara projek yang dibangunkan oleh Sunway Property.
Sunway d’Hill antara projek yang dibangunkan oleh Sunway Property.

Sunway Property sasar jualan RM2.6 bilion tahun ini

KUALA LUMPUR: Sunway Property dalam landasan untuk mencatatkan satu lagi tahun pertumbuhan mantap dengan mengumumkan sasaran jualan RM2.6 bilion bagi 2024.

Sasaran diumumkan susulan prestasi positif sepanjang tahun lalu, apabila pemaju hartanah itu mencapai jualan RM2.4 bilion di seluruh operasi Malaysia dan antarabangsa, sekali gus mengatasi sasaran jualan RM2.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Dalam tempoh ini, Sunway Property turut merekodkan pendapatan belum dibilkan hampir RM4.1 bilion dan berjaya menyiapkan pelancaran bernilai RM4.4 bilion.

Dengan baki simpanan tanah 2,467 ekar setakat 31 Disember 2023 yang menanggung anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM52.9 bilion, pemaju itu berada pada kedudukan yang mantap untuk meneruskan trajektori pertumbuhan dalam tahun akan datang.

Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah, berkata: "Kami berbangga dengan pencapaian pada 2023, terutamanya apabila berjaya mengatasi sasaran jualan tahun ini. Walaupun ketidaktentuan ekonomi masih ada, kami kekal yakin dengan daya tahan pasaran hartanah, terutamanya dengan potensi pertumbuhan kukuh di Johor dengan rancangan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.

"Tahun ini, kami juga akan memperkenalkan empat produk utama baharu merentasi semua wilayah di Malaysia. Ditambah dengan tawaran menarik pada kempen tahunan utama 'Signature Series', kami yakin bahawa ini akan meletakkan kami dalam kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran sekali lagi pada 2024."

Di Lembah Klang, Sunway Property akan melancarkan Sunway Velocity 3, fasa seterusnya pembangunan kediaman di Kuala Lumpur.

Terletak di tengah-tengah perbandaran Sunway Velocity, pembangunan itu akan mendapat manfaat daripada komponen bersepadu penjagaan kesihatan, pendidikan, runcit dan hospitaliti, selain sambungan kepada kemudahan pengangkutan awam.

Sementara itu, Sunway Property akan memperkenalkan rumah teres dua tingkat di Sunway Aviana, terletak di Sunway City Iskandar Puteri, Johor, yang juga perbandaran bersepadu terbesar pemaju itu.

Ia juga akan melancarkan Sunway Bayu, merangkumi rumah teres-fleksi terletak di Sunway City Ipoh, tidak jauh dari Pusat Perubatan Sunway Ipoh yang akan siap tahun ini, selain Sunway Ipoh Mall yang mempunyai keluasan lantai kasar 1.5 juta kaki persegi dijangka siap pada 2024.

Di Pulau Pinang, pemaju itu akan melancarkan Sunway Wellesley, pembangunan kediaman tanah berpagar terletak di Bukit Mertajam.

Kempen tahunan Sunway Property, 'Signature Series' akan diadakan buat tahun ketiga berturut-turut.

Diadakan dari 18 Mac hingga 30 Jun 2024, kempen jualan utama pemaju itu akan menampilkan tawaran menarik dan hadiah cabutan bertuah, termasuk kereta Tesla Model Y bernilai RM199,999, baucar pelancongan bernilai RM20,000 dan banyak lagi.

Berita Harian X