Jumaat, 16 Februari 2024 | 2:27pm
Scientex mempunyai jenama yang mantap di selatan Semenanjung Malaysia.
Scientex mempunyai jenama yang mantap di selatan Semenanjung Malaysia.

Scientex tumpu rumah mampu milik RM250,000 ke RM500,000

KUALA LUMPUR: Projek perumahan Scientex Bhd dijangka mendapat sambutan kukuh kerana menyasarkan penduduk berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan pinggir bandar, dengan menawarkan harga rumah dalam lingkungan RM250,000 hingga RM500,000.

Penganalisis BIMB Securities Research, Nursuhaiza Hashim, berkata Scientex mempunyai kedudukan yang kukuh sebagai pemaju perumahan harga mampu milik dengan jenama yang mantap di selatan Semenanjung Malaysia, khususnya Johor serta kehadiran di utara Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, kumpulan itu telah berkongsi bahawa jualan yang belum dibilkan mereka pada masa ini berjumlah RM1.5 bilion dan menjangkakan jualan hartanah melebihi RM1.8 bilion pada akhir 2024.

"Perolehan tanah strategik baru-baru ini di Kulai dan Muar, Johor, mencerminkan pandangan jauh kumpulan itu dalam memenuhi keperluan populasi pekerja yang berulang-alik ke Singapura dan juga meletakkan Scientex sebagai penerima berpotensi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, dengan prospek stesen di Muar," katanya dalam nota penyelidikan.

Nursuhaiza berkata, antara faktor yang dipertimbangkan oleh Scientex semasa memilih pengambilan tanah adalah aspek seperti lokasi strategik yang membolehkan akses mudah, kepadatan penduduk yang tinggi dan keberkesanan kos.

Beliau berkata, kumpulan itu menyatakan bahawa kos tanah membentuk sehingga 20 peratus daripada nilai pembangunan kasar (GDV) dan Scientex biasanya menyasarkan tanah pertanian sebelum menukarnya kepada tanah perumahan.

"Proses ini biasanya mengambil masa kira-kira enam hingga sembilan bulan dan fasa pertama projek itu dijangka akan dilancarkan dalam masa satu hingga satu setengah tahun selepas pengambilan tanah," katanya.

Sementara itu, dalam segmen pembungkusan, Nursuhaiza berkata pihak pengurusan Scientex berkongsi bahawa kadar penggunaan (UR) hkini berada di antara 55 peratus sehingga 60 peratus, iaitu lebih tinggi sedikit daripada 50 peratus sehingga 55 peratus sebelum ini.

Katanya, ia menjangkakan UR akan pulih lagi sehingga melebihi 60 peratus dalam jangka terdekat berdasarkan peningkatan terkini dalam jumlah pesanan khususnya dari segmen pengguna dan berpandangan bahawa prospek pembungkusan kekal mencabar di tengah-tengah ekonomi global.

"Selain itu, kami menjangkakan bahawa margin akan mengalami pemampatan memandangkan potensi untuk pergerakan kenaikan dalam harga resin ditambah dengan peningkatan kos tenaga, akan menambahkan tekanan pada keuntungan segmen.

"Penting untuk ambil perhatian bahawa peraturan dan keutamaan pengguna terhadap pembungkusan yang mampan sedang berkembang dan Scientex semakin berusaha ke arah lebih banyak lagi penyelesaian mesra alam di mana lebih daripada 80 peratus daripada portfolio produk Scientex telahpun dikhususkan untuk produk pembungkusan yang boleh dikitar semula," katanya.

Beliau berkata, dengan memanfaatkan kepakaran dan kefahaman mereka terhadap teknologi ini, Scientex telah bersedia dengan baik untuk beralih dengan lancar daripada produk yang tidak boleh dikitar semula kepada produk yang boleh dikitar semula, tanpa kesan kos yang merugikan kepada kumpulan.

Katanya, inisiatif penyelidikan dan pembangunan(R&D) yang sedang berjalan sentiasa sejajar dengan keperluan pelanggan dan memajukan matlamat kelestarian.

Berita Harian X