Rabu, 31 Januari 2024 | 6:27pm
Mah Sing Group Bhd
Mah Sing Group Bhd

Mah Sing Business Park akan dibangunkan di Sepang

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd telah menandatangani perjanjian untuk membangunkan 74.87 hektar (185 ekar) pembangunan industri utama di Sepang dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM728 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan hartanah itu berkata Fusion Heights Development Sdn Bhd, anak syarikat Mah Sing South Sea Industrial Development Sdn Bhd (MSSSID) akan membangunkan kawasan berkenaan yang akan dikenali sebagai Mah Sing Business Park.

Mah Sing memiliki 70 peratus MSSSID.

Kawasan seluas 74.87 hektar itu melibatkan bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus dengan baki 90 peratus daripada jumlah harga belian yang perlu dibayar tiga bulan selepas selesai syarat duluan.

Jumlah harga tanah itu ialah RM100.73 juta atau RM12.50 satu kaki persegi.

"Pemilik tanah, Premier Land Resources Sdn Bhd juga telah memberikan pilihan kepada Fusion Heights Development Sdn Bhd untuk membeli tambahan 152.42 hektar (376.65 ekar) pada harga RM12.50 sekaki persegi dalam tempoh empat tahun selepas memuktamadkan perjanjian jual beli," kata kenyataan itu.

"Potensi GDV untuk keseluruhan 227.29 hektar (561.65 ekar) adalah sehingga RM2 bilion termasuk komponen pembangunan yang setanding," kata kumpulan itu.

Premier Land Resources bercadang untuk mengambil 20 peratus kepentingan dalam Fusion Heights Development bersamaan dengan 500,002 saham biasa.

"Penyertaan pemilik tanah sebagai pemegang saham memberi kredibiliti dan keyakinan kepada kejayaan projek Mah Sing Business Park," kata kenyataan itu.

"Struktur pelaburan berperingkat dengan pembelian awal seluas 74.87 hektar dengan pilihan untuk selebihnya tanah dalam tempoh empat tahun bersama-sama dengan kos tetap pendahuluan sebanyak RM12.50 kaki persegi untuk membantu mengurangkan risiko."

Ia juga mewujudkan peluang pertumbuhan tanpa meletakkan tekanan yang berlebihan kepada lembaran imbangan dan kecairan, kata kenyataan itu.

Pembangunan ini terdiri daripada kilang, lot industri dan kluster untuk perniagaan industri sederhana dan ringan.

"Pembangunan itu disasarkan akan menarik minat penggiat daripada pembuatan berteknologi tinggi dan pembuatan nilai," katanya.

– Bernama

Berita Harian X