Jumaat, 19 Januari 2024 | 12:17pm
Onn Hafiz (tengah) menyaksikan perjanjian antara PDT dan EcoWorld di Iskandar Puteri - Gambar Facebook Menteri Besar Johor
Onn Hafiz (tengah) menyaksikan perjanjian antara PDT dan EcoWorld di Iskandar Puteri - Gambar Facebook Menteri Besar Johor

Eco Botanic 3 tawar kediaman untuk M40 di Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) dengan kerjasama Permodalan Darul Ta'zim Sdn Bhd (PDT), Iskandar Investment Bhd (IIB) menerusi anak syarikatnya, River Retreat Sdn Bhd (RRSB) dan EcoWorld Development Group Bhd (EcoWorld), memeterai perjanjian kerjasama membabitkan pembangunan projek perumahan di sini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerjasama strategik bersama pihak swasta itu menawarkan peluang pemilikan kediaman kepada golongan berpendapatan sederhana (M40), dengan secara keseluruhan, dianggarkan sebanyak 3,746 unit rumah akan ditawarkan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,008 unit rumah akan ditawarkan kepada golongan sasar dengan pecahan 700 unit rumah jenis pangsapuri ditawarkan pada harga bermula kurang daripada RM400,000 seunit dan 308 unit rumah jenis teres pada harga bermula kurang daripada RM500,000 seunit.

"Projek ini adalah kesinambungan daripada projek Eco Botanic 2 yang menerima sambutan menggalakkan khususnya daripada golongan M40 dalam kalangan Bumiputera, apabila lebih daripada 94 peratus unit dijual sejak pembangunan Presint 1 dan 2 dilancarkan pada 2021," katanya dalam satu kenyataan.

Rentetan kejayaan ini, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan meneruskan pembangunan perumahan bercampur yang dikenali sebagai Eco Botanic 3, dengan golongan M40 berpeluang memiliki hartanah bertaraf premium dan eksklusif.

Katanya, Eco Botanic 3 akan dibangunkan di lokasi strategik iaitu di EduPark East dan EduPark West, Iskandar Puteri dengan keluasan tanah 240.314 ekar milik IIB.

Sementara itu, Public Investment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, ia difahamkan bahawa tanah baharu terbabit terletak secara strategik berhampiran dengan Eco Botanic dan Eco Botanic 2 yang juga dua pembangunan perbandaran sedia ada kumpulan pemaju hartanah itu di Iskandar Malaysia.

Bank pelaburan itu berkata, ini akan menjadi perjanjian tanah kedua kumpulan ini di Iskandar Malaysia dalam masa kurang daripada lima bulan

Katanya, pada September 2023, kumpulan mengumumkan bahawa ia bercadang untuk membeli 163.4 hektar tanah perindustrian di Kulai, Johor.

"Berdasarkan kejayaannya dalam Eco Botanic dan Eco Botanic 2, kumpulan berhasrat untuk terus memberi tumpuan kepada produk yang mampu milik yang sesuai untuk pembeli rumah kali pertama dan kumpulan sasaran M40.

"Jualan terkumpul di kedua-dua perbandaran telah melebihi RM3.33 bilion pada 31 Oktober 2023. Oleh itu, ia merancang untuk membangunkan tanah baharu itu menjadi pembangunan perbandaran kediaman dan komersial bercampur dengan anggaran awal GDV RM3.88 bilion.

"Ia terdiri daripada produk mampu milik (kedua-dua bangunan tinggi dan bertanah) sesuai untuk pembeli rumah kali pertama dan M40," katanya.

Mengulas lanjut, Public Investment Bank berkata, kos tanah itu adalah hanya kira-kira 11.6 peratus daripada GDV, yang kelihatan saksama pada pandangan mereka.

"Pembelian tanah ini, yang hanya akan dibayar secara bayaran berperingkat (dari 2.5 peratus hingga 35 peratus daripada harga belian) dalam tempoh lima tahun, dijangka dibiayai oleh dana dalaman dan pinjaman bank dengan jumlah pecahan sebenar hanya akan ditentukan kemudian.

Berita Harian X