Rabu, 10 Januari 2024 | 2:33pm
Dasar MM2H yang mesra pembeli membantu pemaju hartanah untuk mengurangkan unit rumah siap tidak terjual - Foto AFP
Dasar MM2H yang mesra pembeli membantu pemaju hartanah untuk mengurangkan unit rumah siap tidak terjual - Foto AFP

Syarat baharu MM2H tarik minat rakyat asing beli rumah

KUALA LUMPUR: Syarat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditambah baik dijangka akan membantu pemaju hartanah untuk mengurangkan unit kediaman siap tidak terjual.

Pengarah Urusan Kumpulan CBRE|WTW, Tan Ka Leong, berkata pihaknya optimis situasi hartanah siap tidak terjual itu akan terus berkurangan terutama di Lembah Klang dengan jangkaan peningkatan minat belian oleh pembeli asing susulan syarat MM2H yang lebih mesra pembeli hartanah.

Katanya, berdasarkan perangkaan yang ada, jumlah hartanah siap tidak terjual di Lembah Klang dilihat kebanyakannya lebih tertumpu kepada kediaman bertingkat tinggi mewah dengan harga lebih RM1 juta.

"Kami optimis dasar MM2H yang mesra pembeli akan membantu pemaju hartanah untuk mengurangkan unit rumah siap tidak terjual mereka," katanya pada taklimat sempena pelancaran Tinjauan Pasaran Hartanah Malaysia 2024 oleh CBRE|WTW di sini, hari ini.

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) sebelum ini melancarkan versi program MM2H yang telah diubah suai, yang kini mempunyai tiga peringkat iaitu Perak, Emas dan Platinum.

Program yang dirombak itu memperlihatkan beberapa perubahan pada kriteria kelayakan seperti syarat umur minimum telah diturunkan kepada 30 tahun, sekali gus membuka pintu kepada lebih ramai orang yang ingin menjadikan Malaysia rumah kedua mereka.

Permohonan hanya boleh dikemukakan melalui ejen MM2H berlesen yang diiktiraf oleh kementerian di bawah Akta Industri Pelancongan 1992, sebagai satu cara untuk menjadikan proses itu lebih lancar dan selamat.

Tanpa mengira peringkat yang dipilih, semua peserta mesti memenuhi syarat tinggal minimum di Malaysia untuk jumlah kumulatif 60 hari setiap tahun.

Semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu, kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat sedia ada bagi permohonan MM2H bagi meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur asing ke Malaysia.

Penambahbaikan MM2H dijangka dapat meningkatkan aktiviti pelaburan dalam pasaran kewangan Malaysia dan industri hartanah negara.

Sementara itu, Penasihat CBRE|WTW, Foo Gee Jen pula berharap supaya data membabitkan hartanah siap tidak terjual disemak semula supaya lebih terperinci mengikut kategori dan usia hartanah.

Beliau berkata, pada masa ini, data hartanah siap tidak terjual bersifat umum dan tidak mempunyai kategori yang terperinci, sekali gus menjadikannya tidak memberi gambaran situasi sebenar.

Baginya, hartanah siap tidak terjual yang sudah bertahun lamanya yang masih tidak terjual tidak boleh lagi dimasukkan dalam kategori itu memandangkan unit sedemikian memang tidak menarik minat pembeli.

Justeru, katanya, kerajaan perlu tampil dengan mekanisme baharu yang menunjukkan perincian dari segi kategori membabitkan hartanah siap tidak terjual supaya ia lebih menggambarkan keadaan sebenar.

Menerusi data daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebanyak 26,286 unit rumah masih belum terjual di Malaysia dalam tempoh enam bulan pertama 2023, yang membabitkan nilai sebanyak RM18.3 bilion.

Jumlah itu berkurangan berbanding 27,746 unit kediaman siap tidak terjual pada 2022, dengan nilai keseluruhan RM18.41 bilion.

Berita Harian X