Selasa, 2 Januari 2024 | 4:06pm
Pengurusan kanan Mah Sing pada majlis penyiapan struktur bumbung M Luna di Kepong - Gambar ihsan Mah Sing
Pengurusan kanan Mah Sing pada majlis penyiapan struktur bumbung M Luna di Kepong - Gambar ihsan Mah Sing

Mah Sing siapkan struktur bumbung projek M Luna

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) memulakan tahun 2024 dengan meraikan penyiapan struktur bumbung projek M Luna.

Ia menandakan penyiapan struktur Menara A dan Menara B projek terletak di Kepong itu, yang telah dijual sepenuhnya.

Projek M Luna mencapai nilai Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pembinaan Lebuhraya (SHASSIC) tertinggi iaitu 94.02 peratus di antara semua projek Mah Sing dan tiga juta jam tanpa kemalangan (LTI) dan ia dijadualkan siap pada suku keempat 2024.

Pengarah Pengurusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata pihaknya berbangga meraikan kejayaan penting M Luna dan pengambilan 100 peratus adalah bukti komitmen untuk memenuhi jangkaan pasaran secara konsisten dari segi kualiti dan harga produk.

"Kami mendapat maklum balas yang positif kerana harga yang menarik, susun atur yang praktikal, kemudahan dan lokasi yang baik.

"Disebabkan permintaan yang tinggi daripada M Luna, kami melancarkan M Nova pada Ogos lalu dan ini merupakan pembangunan ketiga kami di Kepong setelah Lakeville Residence dan M Luna," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, M Luna memperoleh maklum balas yang menggalakkan, memberikan bukti tambahan bahawa projek ini dirancang dengan teliti dengan memberi tumpuan kepada lokasi utama di kawasan kejiranan yang mantap.

"Pada 2024, kami yakin dapat melancarkan lebih banyak projek dan akan terus mencari tanah yang sesuai yang boleh meniru kejayaan pembangunan kediaman Siri M kami," katanya.

M Luna menonjol di antara struktur lain di sekitarnya dan pembangunan kediaman tertinggi di Kepong serta tertinggi dalam portfolio kumpulan setakat ini.

M Luna mempunyai 57 tingkat dengan jumlah 1,672 unit di kedua-dua menara yang menawarkan pelbagai saiz unit yang sangat sesuai untuk keluarga muda dan profesional.

Hoy Kum berkata, unit dua hingga empat bilik tidur itu mempunyai binaan seluas 700 kaki persegi, 850 kaki persegi atau 1,000 kaki persegi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM705 juta itu kini sekitar 83.5 peratus telah disiapkan.

Sementara itu, beliau berkata, M Nova menerima sambutan yang menggalakkan daripada pembeli rumah, dengan 90 peratus daripada Menara A terdiri daripada 624 unit dibeli hanya dalam masa satu hujung minggu.

Projek itu berhampiran enam sekolah termasuk SMK Kepong (3.7 kilometer), Sekolah St. Mary Kuala Lumpur (3.8 kilometer), SK Intan Baiduri (3.9 kilometer), SK La Salle (2) Jinjang (M) (6.4 kilometer), SMK Jinjang (5.6 kilometer), SJKC Jinjang Utara (6.2 kilometer) dan institusi seperti Fakulti Perubatan UiTM Kampus Selayang (3.8 kilometer).

Berita Harian X