Khamis, 28 Disember 2023 | 6:16pm
Ruang pejabat di Mid Valley Southkey diisi oleh syarikat antarabangsa dan tempatan.
Ruang pejabat di Mid Valley Southkey diisi oleh syarikat antarabangsa dan tempatan.

Zon ekonomi khas lonjak permintaan ruang pejabat di JB

JOHOR BAHRU: Cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dapat memacu dan meningkatkan permintaan terhadap ruang pejabat terutamanya di bandar raya Johor Bahru, pada tahun-tahun akan datang.

Pengarah IGB Property Management Sdn Bhd, Wong Khim Chon, berkata permintaan terhadap ruang pejabat semakin meningkat sejak pembukaan semula sempadan Malaysia dan fasa peralihan kepada pandemik pada April tahun lalu, disokong oleh pertumbuhan dan kestabilan ekonomi.

Beliau berkata, lonjakan itu ketara terutamanya ketika tempoh pengembangan ekonomi apabila perniagaan mencatatkan pertumbuhan, yang membawa kepada peningkatan keperluan untuk ruang pejabat bagi menyokong operasi yang semakin berkembang.

"Selain itu, industri tertentu mungkin mengalami pertumbuhan atau perubahan yang pesat, mempengaruhi keperluan ruang pejabat mereka.

"Cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan penyiapan sambungan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dijangka memudahkan lagi pergerakan orang ramai dan barangan merentas sempadan, yang berpotensi meningkatkan permintaan untuk ruang pejabat di Johor Bahru," katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Khim Chon berkata meskipun persaingan yang semakin sengit dalam pasaran hartanah komersial disebabkan pertambahan pesat pembangunan baharu, syarikat itu kekal dengan komitmennya untuk menyediakan spesifikasi yang disesuaikan dengan keperluan khusus penyewa.

Tumpuan utama IGB, tegasnya, adalah untuk mengutamakan perniagaan penyewa, memastikan mereka dapat beroperasi dengan baik di menara dengan reka bentuk dengan bagus dan terletak di lokasi strategik.

Mengulas mengenai ruang pejabat yang ditawarkan di menara North Tower @ Mid Valley Southkey, beliau berkata pada masa ini, penghunian komited di North Tower adalah kira-kira 30 peratus daripada jumlah keluasan bersih yang boleh disewakan kira-kira 327,000 kaki persegi.

Manakala, menara South Tower @ Mid Valley Southkey disasarkan siap pada suku kedua tahun depan, kata syarikat itu.

Mengenai potensi penambahan lebih banyak menara di Mid Valley Southkey pada masa akan datang, Khim Chon berkata sekiranya terdapat peningkatan permintaan dalam pasaran Johor untuk ruang pejabat, syarikat itu pastinya berminat untuk menimbang kemungkinan menambah lebih banyak menara.

"Pada masa ini, kami mempunyai bakal penyewa, termasuk syarikat antarabangsa dan tempatan daripada pelbagai industri, seperti institusi kewangan dan agensi kerajaan asing," katanya.

Mid Valley Southkey, pembangunan guna bercampur Kumpulan IGB yang terletak di tanah seluas 8.98 hektar, telah berkembang pesat menjadi hab perdagangan, riadah dan gaya hidup, menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk pengunjungnya.

Ketika ini, IGB memiliki lebih daripada 404.68 hektar simpanan tanah di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, dan Johor.

-BERNAMA

Berita Harian X