Isnin, 18 Disember 2023 | 2:36pm
Hartanah di Iskandar Malaysia mendapat permintaan tinggi didorong kemasukan pelaburan dan pembinaan RTS Johor Bahru-Singapura - Foto Reuters
Hartanah di Iskandar Malaysia mendapat permintaan tinggi didorong kemasukan pelaburan dan pembinaan RTS Johor Bahru-Singapura - Foto Reuters

MM2H baharu lonjak permintaan rumah di Iskandar Malaysia

KUALA LUMPUR: Pelancaran program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang baharu akan membantu meningkatkan permintaan hartanah di Iskandar Malaysia di Johor.

Penganalisis RHB Research, Loong Kok Wen, berkata semakan semula yang dibuat terhadap program MM2H dilakukan pada masa yang tepat, lebih-lebih lagi ketika Iskandar Malaysia sekarang mencatat kenaikan permintaan hasil dorongan daripada kemasukan pelaburan dan juga pembinaan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura yang akan selesai tidak lama lagi, iaitu menjelang akhir 2026.

"Pelaksanaan dasar yang lebih mesra juga akan membantu menarik pekerja berkemahiran supaya berpindah ke kawasan ini. Malah, sudah menjadi matlamat kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi di Johor.

"Hal ini seterusnya mampu memacu permintaan hartanah khususnya di kawasan berhampiran stesen terminal RTS, dan stesen MRT Tuas," katanya.

Kok Wen berkata, pihaknya memandang baik akan pelancaran program MM2H baharu kerana syarat kelayakan umur dan pendapatan kini menjadi lebih munasabah selain turut menawarkan pilihan yang lebih banyak kepada bakal pemohon warga asing menerusi tiga kategori permohonan.

Katanya, Iskandar Malaysia dijangka akan menjadi kawasan di Semenanjung Malaysia yang paling mendapat manfaat kerana kawasan ini sekarang menyaksikan kemasukan pelaburan dan pemangkin yang kukuh susulan projek-projek pembangunan prasarana.

"Selain itu, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Mont Kiara di kawasan Lembah Klang dan Pulau Pinang juga akan menerima kelebihan kerana menjadi kawasan tumpuan ramai dalam kalangan warga asing.

"Sebagai kawasan tumpuan utama dalam kalangan warga asing, KLCC dan Mont Kiara serta Pulau Pinang juga akan meraih manfaat daripada pelaksanaan program berkenaan.

"Kami ingin menekankan bahawa UEM Sunrise Bhd juga berperanan sebagai syarikat pemaju penting di Mont Kiara dan sekarang mengusahakan dua projek di sana (Residensi Allevia dan The Minh)," katanya.

Beliau berkata, program MM2H baharu menawarkan pilihan lebih meluas dengan tiga kategori permohonan dengan kemasukan visa yang pelbagai.

"Pemohon bawah kategori Platinum, Emas dan Perak hendaklah mempunyai nilai deposit tetap masing-masing sebanyak RM5 juta, RM2 juta dan RM500,000 dengan kategori Platinum layak untuk memohon status penduduk tetap (PR) setelah mendapatkan pas mereka.

"Sementara itu, pas MM2H Emas dan Perak sah selama 15 tahun dan lima tahun. Kesemua pemohon dibenarkan untuk mengeluarkan maksimum 50 peratus daripada jumlah berkenaan selepas setahun untuk tujuan pembelian hartanah yang bernilai RM1.5 juta (untuk pemegang pas Platinum) dan bawah RM750,000 (bagi mereka yang memegang pas Emas dan Perak), begitu juga untuk belanja penjagaan kesihatan dan pelancongan," katanya.

Berita Harian X