Ahad, 3 Disember 2023 | 5:20pm
Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock (tiga kiri) melakukan pertukaran dokumen dengan Pengarah Urusan Exsim, Lim Aik Hoe pada majlis menandatangani usaha sama pembangunan semula tanah MABA dengan Exsim di Wisma Maba. NSTP/ASWADI ALIAS
Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock (tiga kiri) melakukan pertukaran dokumen dengan Pengarah Urusan Exsim, Lim Aik Hoe pada majlis menandatangani usaha sama pembangunan semula tanah MABA dengan Exsim di Wisma Maba. NSTP/ASWADI ALIAS

Exsim bangunkan apartmen 60 tingkat di tapak Wisma MABA

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Exsim Development Sdn Bhd menjalinkan usaha sama dengan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) bagi membangunkan dua blok apartment servis di atas tanah milik persatuan itu di sini.

Pengarah Urusan Exsim, Lim Aik Hoe, berkata hartanah dikenali dengan nama MABA Suitez @ KL City Centre itu adalah setinggi 60 tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM800 juta yang akan dibina di atas tapak seluas 0.56 hektar.

Katanya, tapak itu ketika ini menempatkan Wisma MABA dan stadium bola keranjang yang akan dirobohkan selepas mendapat kelulusan pembinaan daripada pihak berkuasa.

"Selepas dirobohkan, kita akan memulakan pembinaan projek ini yang dijangka akan bermula pada suku keempat tahun depan dan mengambil masa antara empat hingga lima tahun untuk disiapkan.

"Dijangka sebanyak 1,100-1,200 unit apartment servis akan ditawarkan untuk jualan dengan saiz unit dari 350 kaki persegi hingga 700 kaki persegi.

"Bagaimanapun kita akan memberi peluang kepada MABA untuk mereka memilih terlebih dulu unit yang mereka mahukan untuk dibeli sebagai sebahagian daripada perjanjian yanh dimeterai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani usaha sama pembangunan semula tanah MABA dengan Exsim di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock.

Sementara itu Tian Hock berkata, persatuan itu akan menerima RM170 juta hasil daripada usaha sama itu.

Katanya, daripada jumlah itu RM100 juta akan digunakan untuk membeli unit-unit yang ditawarkan di projek itu untuk tujuan pelaburan.

"Kita menjangkakan hasil daripada usaha sama ini, MABA mampu untuk meraih pendapatan berulang sehingga RM6 juta setahun yang mana akan digunakan untuk menampung kos operasi tahunan persatuan.

"Ketika ini kami memerlukan sekitar RM4 juta untuk menampung kos pengurusan tahunan persatuan.

"Dengan cara ini, kami sudah tidak perlu bergantung kepada wang daripada kerajaan atau melalui derma dan boleh berdiri di atas kaki sendiri selepas ini," katanya.

Berita Harian X