IPOH: Majuperak Holdings Berhad (MHB) menjalinkan usaha sama dengan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) untuk membangunkan 601 unit rumah mampu milik menerusi projek Rumah Perakku di Mukim Sungai Terap di Batu Gajah.
Pengerusi Eksekutif MHB, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, berkata pembangunan projek skim perumahan di atas tanah berkeluasan 46.38 hektar itu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM132 juta.
"Projek perumahan ini bakal dilaksanakan secara berfasa bermula September tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya September 2025. Bank Rakyat menyediakan kemudahan pembiayaan sejumlah RM22 juta," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani pembiayaan pembinaan antara MHB dan Bank Rakyat di sini, hari ini.
Pada majlis itu, perjanjian berkenaan ditandatangani MHB diwakili Syed Agil Syed Hashim manakala Bank Rakyat oleh Mohd Hamka Abd Rani dengan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Sementara itu, Shy Ching berkata inisiatif yang dilaksanakan oleh MHB itu menyokong hasrat kerajaan negeri dalam memacu perumahan mampu milik, berdaya huni, berkualiti dan memenuhi elemen komuniti.
"MHB telah membuktikan bahawa mereka telah mengambil peranan yang besar dan mengatur langkah yang proaktif berkaitan projek perumahan kepada rakyat di negeri ini selaras dengan agenda pembangunan Perak Sejahtera 2030 seterusnya bergerak seiring dalam menyokong dasar perumahan di peringkat negeri mahupun Persekutuan," katanya.
-BERNAMA