BANGI: Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa pada 2.75 peratus dilihat masih rendah berbanding paras sebelum pandemik, sekali gus dijangka tidak menjejaskan secara ketara sentimen dalam pasaran hartanah.
Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Sr Aina Edayu Ahmad, berkata paras OPR semasa masih belum berada pada paras sebelum pandemik iaitu sekitar 3.25 peratus.
Beliau berkata, dengan paras yang masih rendah berbanding sebelum pandemik, ia menunjukkan dasar kewangan adalah akomodatif pada masa ini.
"OPR masih belum mencapai tahap sebelum pandemik. Justeru, ia bukan menjadi isu," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta 2022.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada paras OPR memberi kesan terhadap permintaan hartanah.
Pada minggu lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus.
Pada mesyuarat pertama bagi 2023 pada Januari lalu, MPC BNM telah mengambil keputusan yang mengejutkan pasaran dengan mengekalkan kadar penanda aras pinjaman dan deposit itu pada 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut tahun lalu.
OPR dinaikkan bermula Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.
Mengenai prospek pasaran hartanah tahun ini, Aina Edayu berkata, sektor harta tanah negara dijangka akan meneruskan momentum pemulihan selari dengan pertumbuhan
ekonomi.
Beliau berkata, inisiatif yang digariskan di bawah Belanjawan 2023 akan turut menyokong aktiviti pasaran harta tanah negara di samping dasar yang akomodatif.
Katanya, situasi kediaman siap tidak terjual juga dilihat bertambah baik dengan mencatatkan pengurangan terutama di Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Mengulas jangkaan prestasi kediaman siap tidak terjual tahun ini, Aina Edayu berkata, situasi itu akan bergantung kepada kadar serapan dalam pasaran.
Jelasnya, semua bergantung kepada sentimen pemaju dan isi rumah sama ada mereka positif kepada tinjauan ekonomi serta pendapatan.
"Seperti yang kita tahu, hartanah adalah 'big ticket item' yang mana ia adalah komitmen sepanjang hayat. Jika sentimen positif, kita akan lihat lebih banyak serapan," katanya.