KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menyokong teguh gesaan supaya hanya satu agensi mengendalikan keseluruhan proses pengambilan pekerja asing untuk memastikan kejelasan, ketelusan dan kecekapan yang lebih tinggi.
Presidennya, Datuk NK Tong, berkata pihaknya terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Sumber Manusia (KSM), V Sivakumar, untuk memindahkan semula pusat sehenti (OSC) untuk pengambilan pekerja asing di bawah Menteri Dalam Negeri (KDN), yang sebelum ini berpusat di bawah KSM.
"Kami sangat menyokong gesaan yang dibuat oleh badan profesional lain untuk mengekalkan sistem pengurusan pekerja asing di bawah KSM kerana ia bukan sahaja akan meminimumkan birokrasi tetapi juga menyelaraskan proses dalam satu kementerian," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tong berkata, persatuan beranggapan perubahan mendadak itu sebagai langkah ke belakang kepada industri terutamanya ketika negara masih dalam peringkat pemulihan berikutan wabak COVID-19.
"Banyak perbincangan berlaku dalam kalangan pemain industri dan kerajaan sebelum, kami akhirnya memutuskan melantik KSM sebagai penjaga hal-hal berkaitan pekerja asing.
"Bagaimanapun, perubahan dasar terkini yang menyaksikan dua kementerian akan terbabit pasti menambah lagi kerenah birokrasi, yang membawa kepada kelewatan selanjutnya," katanya.
Tambah beliau, walaupun REHDA memahami bahawa kerajaan hanya akan mengambil langkah yang memanfaatkan negara, seruan untuk memindahkan OSC kembali kepada KDN hanya akan memudaratkan, terutamanya dalam industri pembinaan.
"Pada masa ini, kekurangan pekerja yang kritikal menjejaskan output pemaju secara serius. Kami berharap KSM terbuka untuk mengadakan libat urus dengan kami dan pihak berkepentingan semua industri yang terjejas untuk mencari pendekatan holistik untuk mengurangkan isu ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Tong berkata, REHDA Malaysia ingin mengulangi gesaan supaya kerajaan mengambil langkah menangani masalah kekurangan pekerja.
"Lebih banyak perlu dilakukan untuk menjamin bahawa pekerja binaan akan tersedia secepat mungkin untuk pemaju menyerahkan rumah kepada pembeli tepat pada masanya,"
"Dalam pada itu, REHDA dan ahlinya berusaha untuk terus menjalankan peranan pembinaan negara kita dalam menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti kepada rakyat dengan berkesan dan cekap," katanya.