Khamis, 8 Disember 2022 | 2:32pm

PropertyGuru lancar penyelesaian enterpris hartanah

KUALA LUMPUR: PropertyGuru Group Limited (PropertyGuru), peneraju syarikat teknologi hartanah di Asia Tenggara melancarkan penyelesaian enterpris yang dikenali 'PropertyGuru For Business'.

Penyelesaian enterpris itu disasarkan untuk memberi panduan kepada pelanggan enterpris seperti pemaju hartanah, agensi, bank, penilai, perancang bandar dan pembuat dasar.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan PropertyGuru Group, Hari V Krishnan, berkata cita-cita pihaknya adalah untuk membawa ketelusan dalam perjalanan hartanah dan mewujudkan platform dipercayai bagi pencari rumah dan rakan kongsi perniagaannya.

Beliau berkata, dengan memanfaatkan kuasa bersepadu data proprietari, teknologi dan sumber manusia, pihaknya berharap untuk memperkasakan rakan kongsi perniagaan dan pelanggan dalam membuat keputusan yang lebih termaklum.

Katanya, di peringkat perusahaan atau bandar, keputusan itu boleh memberi kesan kepada ribuan, malah berjuta-juta orang, dan 'PropertyGuru For Business' adalah untuk membimbing pelanggan memaksimumkan pertumbuhan peluang, sambil mengurangkan risiko dan ketidakpastian.

"Kami percaya 'PropertyGuru for Business' adalah pelancaran tepat pada masanya kerana kami berharap dapat melengkapkan pelanggan perusahaan kami dengan data, alat dan maklumat yang betul untuk mengemudi keadaan ekonomi yang tidak menentu akan datang dan lebih bersedia untuk melayani pelanggan," katanya sempena pelancaran penyelesaian itu hari ini.

Penyelesaian 'PropertyGuru For Business' termasuk perkhidmatan dan penyelesaian proprietari bersepadu seperti DataSense, ValueNet, FastKey, penyelesaian acara serta pemasaran sebagai perkhidmatan (MaaS).

Krishnan juga mengumumkan bahawa cerapan dan risikan pasaran platform DataSense (dulunya dikenali sebagai Vantage+) 'PropertyGuru For Business' akan memperkenalkan set ciri baharu dan penyelesaian yang memenuhi keperluan pemaju hartanah untuk memanfaatkan analitik sebagai alat bagi menambah baik perniagaan mereka.

DataSense kini tersedia di Malaysia dan akan diperkenalkan tidak lama lagi dalam pasaran lain seperti Singapura, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Pengenalan 'PropertyGuru For Business' adalah tepat pada masanya memandangkan industri hartanah di Asia Tenggara sedang mengalami kebangkitan teknologi, dengan lebih banyak perusahaan dan organisasi yang melihat ke arah pendigitalan, menjadikannya sebahagian daripada transformasi operasi mereka.

Pengarah Urusan Penyelesaian Data dan Perisian (DSS) PropertyGuru Group, Shyn Yee Ho-Strangas, berkata menyedari bahawa negara mempunyai pendekatan yang berbeza terhadap tanah dan pemilikan hartanah, transaksi dan proses pengurusan, 'PropertyGuru For Business' akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan hartanah untuk menambah baik sistem dalam pasaran di mana ia beroperasi.

Beliau berkata, dengan memajukan dan membolehkan pendigitalan, semua pihak berkepentingan hartanah boleh memanfaatkan pandangan yang lebih mendalam untuk membuat keputusan lebih yakin dalam ekosistem hartanah yang lebih telus.

Katanya, kebanyakan negara Asia Tenggara masih mempunyai sistem dan proses warisan yang tidak dikongsi secara digital dan sukar untuk dikemas kini, dioptimumkan dan disesuaikan.

Walau bagaimanapun, jelasnya, bagi organisasi atau perusahaan yang bersedia untuk memanfaatkan kuasa transformasi digital, rangkaian produk dan penyelesaian 'PropertyGuru For Business' akan mempunyai jawapan untuk rangkaian luas pelanggan yang ingin memanfaatkan platform data yang boleh dipercayai dan perisian pintar untuk meningkatkan daya saing mereka.

"Data dan cerapan dalam hartanah bukan hanya berguna untuk pemaju atau bakal pemaju, secara amalinya, pendigitalan memberi manfaat kepada semua orang dalam sektor hartanah seperti perbankan, pembinaan, dan mereka yang menawarkan profesional perkhidmatan kepada industri hartanah.

"Ia adalah usaha kami untuk menyokong usaha kemampanan, inovasi dan teknologi di seluruh rantau ini," katanya.

Mengulas keperluan perubahan industri hartanah, Pengarah Urusan Pasaran PropertyGuru Group, Jeremy Williams, berkata Asia Tenggara menyaksikan lonjakan permintaan untuk pendigitalan dan data besar, ditambah pula dengan keupayaan untuk menyediakan lebih banyak lagi pengalaman pelanggan yang diperibadikan.

Beliau berkata, menggabungkan tawaran dan penyelesaian ke dalam jenama bersepadu tunggal akan membolehkan pihaknya memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

"Penyelesaian 'PropertyGuru For Business' bukan saja membantu pihak berkepentingan hartanah memanfaatkan berjuta-juta penyenaraian hartanah, kerana ia akan dapat menyediakan cerapan tambahan tidak tersedia pada platform lain untuk membantu pelanggan mendapat gambaran yang lebih besar," katanya.

Berita Harian X