Jumaat, 12 Ogos 2022 | 12:34pm
Mohammad (tengah) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Tanjung Ratna Sdn Bhd, Datuk Julian Lau (kiri) dan Ketua Perkhidmatan Rangkaian Maxis, Chew Choo Soon (kanan) bertukar dokumen persefahaman -NSTP/Aizuddin Saad
Mohammad (tengah) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Tanjung Ratna Sdn Bhd, Datuk Julian Lau (kiri) dan Ketua Perkhidmatan Rangkaian Maxis, Chew Choo Soon (kanan) bertukar dokumen persefahaman -NSTP/Aizuddin Saad

Tanjung Ratna sedia internet untuk hartanah dibina

PUTRAJAYA: Tanjung Ratna Sdn Bhd menjadi pemaju hartanah pertama yang menyediakan kemudahan kesalinghubungan internet di semua projek pembangunan hartanahnya pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Operasi Tanjung Ratna, Allan Chee berkata, bagi peringkat permulaan, kumpulan menyediakan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi bagi projek kondominium Admiral Residences di Kota Laksamana, Melaka.

Beliau berkata, kesalinghubungan internet akan menjadi salah satu kemudahan yang ditawarkan oleh Tanjung Ratna bagi setiap projek hartanahnya.

"Pembeli hartanah kami tidak lagi perlu risau mengenai sambungan internet kerana ia akan disediakan oleh Tanjung Ratna. Kumpulan juga menjadi pemaju hartanah pertama yang menjalin kerjasama strategik dengan Maxis Bhd bagi menyediakan perkhidmatan internet.

"Selain itu, bagi projek Admiral Residences, pembeli akan menikmati perkhidmatan internet 1.5Gbp (satu gigabit sesaat) secara percuma untuk tempoh lima tahun dan ia kondominium yang pertama menawarkan perkhidmatan sedemikian," katanya selepas majlis menandatangi memorandum persefahaman dengan Maxis di sini, semalam.

Majlis disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Mengulas lanjut, Chee berkata kemudahan kesalinghubungan internet menjadi satu keperluan ketika ini dan ia kemudahan tambahan yang dapat menarik minat pembeli rumah.

Beliau berkata, inisiatif Tanjung Ratna juga selaras dengan objektif kerajaan agar rakyat Malaysia dibekalkan dengan infrastruktur komunikasi yang komprehensif dan inklusif serta ekonomi digital melalui pemerkasaan matlumat dan komunikasi.

Sementara itu, Mohammad berkata inisiatif Tanjung Ratna adalah langkah ke hadapan pemaju hartanah dalam menyokong usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan jalur lebar dan akses internet.

Beliau berkata, lebih banyak pemaju hartanah digalakkan untuk menyediakan kemudahan ini di masa hadapan.

"Penyediaan kemudahan jalur lebar untuk pembeli rumah adalah inisiatif yang baik antara pemaju perumahan dan syarikat telekomunikasi kerana perkhidmatan internet dianggap keperluan asas dan utiliti ketiga selain air dan elektrik.

"Ia juga dapat meningkatkan usaha kerajaan dalam menyebarluaskan penggunaan jalur lebar selaras dengan matlamat program Jalinan Digital Negara (JENDELA).

"Malah, kesalinghubungan internet menjadi salah satu syarat dalam mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dan garis panduan berkaitan perkara itu telah disediakan untuk pemaju perumahan dan pihak yang terbabit dalam pembangunan," katanya.

Berita Harian X