Selasa, 12 April 2022 | 2:30pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Choong Kai Wai (tiga kanan) bersama Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan (empat kiri) dalam satu majlis di Putrajaya, hari ini - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Choong Kai Wai (tiga kanan) bersama Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan (empat kiri) dalam satu majlis di Putrajaya, hari ini - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

S P Setia pasang solar PV di semua projek rumah

PUTRAJAYA: S P Setia Bhd menjadi pemaju hartanah pertama menyatakan komitmen lestari berskala besar dalam pembangunannya menerusi cadangan pemasangan solar fotovoltaik (PV) bagi semua unit kediaman dan komersial bermula dengan projek yang akan dimajukan tahun ini.

Komitmen S P Setia itu disokong oleh kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang menyediakan penyelesaian tenaga pintar dan tenaga boleh baharu (RE) sebagai sumber utama elektrik masa hadapan kepada bakal pembeli kediaman dan bangunan komersial yang dibangunkan syarikat pemaju hartanah itu.

Kerjasama yang dijalinkan menerusi perjanjian persefahaman (MoU) bukan hanya membabitkan pemasangan sistem solar PV di atas bumbung, malah turut merangkumi persediaan pemasangan penyelesaian bateri dalam projek pembangunan kediaman dan komersial serta pembinaan sistem pengecasan bagi projek S P Setia akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Choong Kai Wai, berkata komitmen hijau syarikat itu membuktikan sokongan ke arah agenda nasional untuk mencapai sasaran negara neutral karbon menjelang 2050.

Katanya, TNB akan menyokong projek dengan penyelesaian tersedia iaitu solar PV yang akan mengurangkan dan menjimatkan penggunaan tenaga, ketersediaan bateri untuk menyimpan tenaga solar, selain ketersediaan kenderaan elektrik (EV) merangkumi pembinaan infrastruktur pengecasan untuk menyokong mobiliti hijau.

"Kerjasama dengan TNB ini akan menyaksikan projek pembangunan hartanah S P Setia dilengkapi dengan solar, bateri dan kemudahan serta sokongan EV bermula dengan sebahagian projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4 bilion tahun ini.

"Ia juga akan membantu S P Setia untuk mengoptimumkan kos dalam usaha untuk membangunkan projek hartanah dengan tenaga lestari. Secara tidak langsung, menjadikan projek hartanah kami terus berdaya saing, moden, terkini dan berkualiti," katanya pada sidang media selepas pemeteraian MoU S P Setia-TNB di sini, hari ini.

Majlis menandatangani MoU menyaksikan S P Setia diwakili Kai Wai, manakala TNB diwakili Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Pemeteraian MoU itu disaksikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin; Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn; dan dan Pengerusi S P Setia, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Kai Wai berkata, pemasangan penyelesaian hijau di projek hartanah yang dimajukan S P Setia hanya membabitkan peningkatan kos pembinaan sekitar dua peratus, manakala kesannya kepada kenaikan harga hartanah adalah minimum.

"Peningkatan harga adalah minimum. Apa yang penting penjimatan yang akan dinikmati pengguna setiap bulan dan sokongan kepada komitmen kerajaan ke arah kelestarian," katanya.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata, kerjasama dengan S P Setia memberi pilihan kepada pelanggan penyelesaian hijau apabila berakhirnya kuota Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).

"Premis juga akan direka bentuk untuk menyokong kemudahan pemasangan pengecas EV apabila pemilik berhasrat memasangnya kelak. Inisiatif ini selaras Hala Tuju Kelestarian TNB dan pelan hala tuju Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) S P Setia menuju pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050," katanya.

Beliau menjelaskan, penggunaan solar PV atas bumbung membolehkan penjimatan penggunaan elektrik antara 20 hingga 50 peratus dengan jangka hayat mampu mencecah 25 tahun.

"Skim NEM 3.0 menggalakkan pengguna elektrik untuk memasang solar PV atas bumbung, yang mana lebihan tenaga dijana solar PV boleh dieksport kembali ke grid kuasa secara 'one-on-one' offset.

"Kuota peruntukan 800 MW dari 2021 hingga 2023 ini disediakan bagi skim NEM 3.0 untuk rumah kediaman, bangunan komersial dan bangunan kerajaan serta agensi kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, kerajaan berharap syarikat dan organisasi lain turut mengikut jejak TNB dan S P Setia yang berusaha membawa kesejahteraan kepada rakyat dengan mewujudkan kawasan kediaman dengan kualiti alam sekitar lebih baik dengan sumber tenaga hijau dan mampan.

"Ia adalah satu inisiatif istimewa yang menemukan dua entiti berbeza dalam bidang industri tenaga dan perumahan, berganding bahu demi matlamat bersama yang membawa kebaikan kepada negara.

"Ia adalah sejajar agenda perubahan iklim dan teknologi hijau," katanya.

Berita Harian X