Isnin, 4 April 2022 | 8:10pm
Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum
Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum

Mah Sing rancang pelancaran hartanah bernilai RM2.4 bilion

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Mah Sing Group Bhd merancang melancarkan hartanah bernilai RM2.4 bilion tahun ini termasuk beberapa projek di Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Tan Sri Leong Hoy Kum dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu merancang melancarkan M Senyum di Sepang, M Astra di Setapak, M Nova di Kepong, M Panora di Rawang, Selangor, fasa berbaki Ferringhi Residences di Pulau Pinang dan unit bersambung dua tingkat di Meridin East, Johor Bahru.

Beliau berkata. Mah Sing juga menumpu untuk membeli tanah yang sesuai bagi produk mampu milik di Greater Kuala Lumpur, Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

"Mah Sing juga sedang mencari tanah kediaman dan perindustrian berharga menarik di luar Lembah Klang seperti Seremban, Melaka dan Perak bagi projek yang berharga mampu milik," katanya sambil menambah syarikat itu adalah pemaju yang menumpukan kepada pertumbuhan, disokong oleh lembaran imbangannya yang kukuh.

Sementara itu, katanya, syarikat itu juga telah menebus sepenuhnya nilai nominal RM650 juta sekuriti kekal senior tidak dinilai (kekal) pada tarikh penebusan pertama pada 4 April 2022.

Hasil daripada terbitan itu digunakan terutama untuk mempercepat pembinaan projek dengan kadar pembelian yang baik serta bagi simpanan tanah dan modal kerja.

Hoy Kum berkata, keupayaan kukuh syarikat itu dalam menyiapkan projek telah membolehkan ia menetapkan sasaran pemilikan penghunian tinggi bagi 2022 beranding tahun lalu.

"Ini akan meningkatkan lagi aliran tunai kami. Kami juga mempunyai sasaran jualan tinggi sebanyak RM2 bilion pada 2022, pertumbuhan 25 peratus daripada 2021.

"Harga akan menjadi menarik, dengan 60 peratus daripada hartanah kami berharga di bawah RM500,000 dan 94 peratus di bawah RM700,000," katanya.

Menurutnya, syarikat itu menjangka mencatatkan prestasi lebih baik tahun ini susulan jualan tinggi dan pemulihan semula aktiviti pembinaan.

-BERNAMA

Berita Harian X