Selasa, 28 Disember 2021 | 2:28pm
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum

Mah Sing utamakan rumah mampu milik

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah tempatan, Mah Sing Group Bhd akan terus menawarkan hartanah mampu milik dengan ciri premium di lokasi strategik menerusi projek 'M Series'.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata kumpulan mahu menjadi peneraju di Malaysia bagi perumahan mampu milik dengan terus menyediakan rumah pada harga berpatutan dengan ciri premium di kawasan strategik untuk memenuhi permintaan negara yang semakin berkembang.

Beliau berkata, menerusi kempen 'reinvent affordability', pihaknya menggalakkan pelanggan dan pemilik rumah untuk berhemah dalam pembelian hartanah dan tidak terlalu membebankan kewangan.

Katanya, laporan Kajian Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) Separuh Pertama 2021 menunjukkan bahawa hartanah berharga di bawah RM500,000 menyumbang lebih 80 peratus daripada transaksi perumahan.

"Segmen 'M Series' menawarkan secara umumnya (keluasan) dari 700 kaki persegi dan ke atas dengan harga jualan indikatif bermula dari RM318,000. Oleh itu, kami percaya bahawa rangkaian produk kami adalah sejajar dengan permintaan pasaran," katanya dalam satu kenyataan.

Projek 'M Series' terdiri daripada M Luna yang terletak di Kepong, berhampiran dengan Taman Metropolitan Kepong; M Adora (Wangsa Melawati); M Vertica (Kuala Lumpur); M Oscar (Off Jalan Kuchai Lama); M Centura (Sentul); M Arisa (Sentul); M Astra (Setapak) dan M Vista (Pulau Pinang).

Mengenai prospek pasaran hartanah 2022, Mah Sing optimis secara berhati-hati mengenai prospek hartanah dalam jangka sederhana dan panjang, dengan jangkaan permintaan kukuh terhadap hartanah berikutan demografi muda.

Pemaju hartanah itu berkata, kesan pandemik COVID-19 telah mempengaruhi pasaran hartanah di Malaysia sejak dua tahun lalu, yang mengakibatkan perubahan dalam corak pengguna dan cabaran baharu bagi peserta hartanah.

Ia berkata, permintaan sewa dijangka meningkat tahun depan berikutan pembukaan semula sempadan dengan kemasukan lebih ramai ekspatriat asing, rakan kongsi perniagaan, pelancong dan pelajar asing menyumbang kepada jumlah pertumbuhan.

"Pasaran hartanah nampaknya akan bangkit semula apabila kita melangkah ke 2022. Kami akan terus memastikan produk kami sejajar dengan sentimen pasaran dan memenuhi permintaan terpendam untuk rumah mampu milik.

"Kumpulan berhasrat untuk terus memanfaatkan kekuatan platform pasaran digital sedia ada untuk meningkatkan jualan dengan memperkemas proses dari kesedaran kepada pembayaran.

"Melangkah ke hadapan, kumpulan akan berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam pengurusan dan operasi," katanya.

Berita Harian X