Jumaat, 17 Disember 2021 | 4:31pm
Projek M Centura dibangunkan Mah Sing Group Bhd
Projek M Centura dibangunkan Mah Sing Group Bhd

Projek M Centura dapat sambutan pembeli

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd mencapai sasarannya untuk melengkapkan milikan kosong pada suku keempat tahun ini bagi projek M Centura, siri M pertama bagi pembangunan mampu milik meskipun berdepan dengan kenaikan harga bahan binaan dan beberapa siri kawalan pergerakan.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata pembangunan pegangan bebas kontemporari itu dijual sepenuhnya, sekali gus memaparkan keyakinan dan permintaan kukuh daripada pembeli rumah terhadap tawaran produk dengan harga berpatutan.

"Kami berbangga kerana berjaya melunaskan janji kami untuk milikan kosong yang disasarkan bagi suku keempat 2021.

"Pembangunan M Centura membuktikan bahawa kami berupaya mengotakan janji jenama kami dalam menyediakan kediaman gaya hidup tempat peranginan yang premium di Kuala Lumpur," katanya dalam taklimat media mengenai projek M Centura dan malam penghargaan akhir tahun, di sini.

Dilancarkan pada akhir 2017 dengan nilai pembangunan kasar RM570 juta, M Centura terletak di kawasan seluas 1.90 hektar di hadapan Jalan Sentul Pasar yang berharga daripada RM299,000 sehingga kira-kira RM650,000.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Datuk Ho Hon Sang, berkata susulan kejayaan M Centura, Mah Sing melancarkan M Arisa pada Januari 2020 iaitu hartanah pegangan bebas kedua syarikat itu di Sentul.

"Kami jangka lokasi di Sentul yang menawarkan kelebihan seperti akses mudah terhadap kemudahan gaya hidup dan infrastruktur serta permintaan memberangsangkan daripada M Centura, akan menarik minat terhadap M Arisa.

"Berdasarkan kadar penerimaan yang baik meskipun dilanda pandemik, kami pasti sedang berada di landasan yang tepat dengan melancarkan siri M," katanya.

Hon Sang berkata, M Centura adalah antara inisiatif 'Menghasilkan Kembali Mampu Milik' (Reinvent Affordability) oleh Mah Sing dengan matlamat mewujudkan semula apa yang dikatakan sebagai mampu milik dan membina lebih banyak rumah mampu milik dengan harga daripada RM300,000 ke atas bagi unit tiga bilik tidur untuk menangani jurang penawaran-permintaan di pasaran.

"Melalui M Centura, orang ramai boleh melihat kualiti dan kemewahan hasil projek pembangunan mampu milik kami," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X