Selasa, 30 November 2021 | 4:55pm
Mah Sing Group Bhd
Mah Sing Group Bhd

Mah Sing raih jualan hartanah lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM40.16 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 berbanding RM25.96 juta pada tahun lalu.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu menyatakan bahawa perolehan hasil bagaimanapun merosot kepada RM364.57 juta daripada RM388.22 juta bagi tempoh sama sebelum ini.

Bahagian pembangunan hartanah kumpulan itu mencatat hasil lebih tinggi sebanyak RM917.9 juta pada suku ketiga 2021, didorong terutama oleh peningkatan jualan hartanah selain perakuan hasil projek hartanah yang sedang dalam pembinaan selain penjimatan kos susulan pemuktamadan kontrak pembinaan tertentu.

Segmen pembuatan pula meraih hasil berjumlah RM268.1 juta berbanding RM204.7 juta dalam tempoh sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan jualan palet plastik dan komponen automotif berikutan pertambahan permintaan daripada industri utama dan automotif.

Kumpulan itu kekal optimis terhadap prospek pasaran hartanah dan berada dalam kedudukan baik dari segi pemulihan bagi pasaran dengan memanfaatkan profil kecairan atau mudah tunainya, peningkatan permintaan yang dipacu oleh portfolio hartanah serta rekod prestasi pelaksanaan projek-projeknya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Ho Hon Sang berkata syarikat juga berjaya mencatat jualan hartanah mencecah kira-kira RM1.28 bilion bagi suku ketiga 2021.

"Susulan kejayaan mencapai 80 peratus daripada sasaran jualan 2021 dalam tempoh hanya sembilan bulan, kumpulan ini yakin dapat memenuhi sasaran jualan tahun penuh sebanyak RM1.6 bilion," katanya.

Dalam perkembangan lain, anak syarikat milik penuh Mah Sing, Myvilla Development Sdn Bhd (Myvilla) memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Nation Holdings Sdn Bhd membabitkan cadangan pengambilalihan tanah di Mukim Batu, Kuala Lumpur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM790 juta.

Menurut Mah Sing, pembangunan di tanah berkeluasan 3.27 hektar bernilai RM95 juta itu akan merangkumi kediaman dengan kemudahan perkhidmatan dan disokong oleh komponen runcit dikenali sebagai M Nova.

"Pendaftaran minat serta pelancarannya disasarkan masing-masing pada suku pertama dan suku ketiga 2022," katanya.

Ia juga menyifatkan cadangan pengambilalihan itu dapat memberi peluang untuk kumpulan memperkukuh kedudukannya di kawasan tadahan air di Kepong serta meningkatkan jumlah simpanan tanah bagi membolehkannya berada dalam lingkungan rumah mampu milik dengan menyasarkan kalangan pembeli pertama dan pengguna yang mahu meningkatkan tahap kediaman masing-masing.

Cadangan pengambilalihan itu dijangka tidak memberi kesan ketara ke atas aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

-BERNAMA

Berita Harian X